Khadijah Ibrahim Lancar ‘Sos Ibu’ Kini Menembusi Pasaran Antarabangsa!
- Nurul Safiah
- 14 hours ago
- 1 min read

Dari pentas ke dapur, legenda muzik tanah air Dato’ Khadijah Ibrahim kini mencuri perhatian sebagai usahawan dengan pelancaran rasmi produk terbaharunya, “Sos Cili Pedas Ibu” yang berlangsung meriah di St Rosyam Mart, Jalan Kebun, Klang.
Lebih dikenali sebagai Kathy Ibrahim, penyanyi balada unggul ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus menyinar bukan sahaja dalam bidang seni, tetapi juga dalam dunia perniagaan!
Sos yang diinspirasikan daripada resipi rumah air tangannya sendiri itu penuh dengan rasa asli, pedas menyengat dan sarat dengan kasih sayang.
“Sos ini adalah lambang kasih saya kepada peminat dan rakyat Malaysia. Ia resipi keluarga yang saya mahu kongsikan dengan semua,” kata Khadijah.

Lebih membanggakan, Sos Cili Pedas Ibu kini menembusi pasaran antarabangsa, boleh didapati di Indonesia, Singapura dan Brunei, serta dalam perbincangan untuk pengedaran di 23 buah negara lain.
Malah, produk ini bakal dipamerkan di ekspo makanan antarabangsa di Shanghai bulan depan!
Tidak sekadar berniaga, Khadijah juga mengumumkan bahawa sebahagian hasil jualan akan disalurkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) sebagai tanda sokongan kepada rakan-rakan seniman yang memerlukan.
“Sos Cili Pedas Ibu” kini boleh didapati di St Rosyam Mart dan secara online di platform Shopee serta TikTok Shop.
Di usia 66 tahun, Khadijah masih memukau dengan semangat luar biasa, membuktikan bahawa legenda sebenar tidak pernah padam.

Comments