top of page

Keluarga Iskandar 3 Sentuh Hati, Episod 6 Buat Ramai Sebak

  • Writer: N
    N
  • Feb 23
  • 2 min read

Kalau sebelum ini Keluarga Iskandar 3 terkenal dengan gelak tawa dan drama santai keluarga, episod 6 yang ditayangkan baru-baru ini betul-betul ubah emosi penonton. Ramai yang mengaku tisu jadi “kawan baik” malam tu bukan sekadar sedih, tapi sampai buat kita terfikir tentang nilai sebenar sebuah keluarga.

Watak Kak Ngah yang dilakonkan oleh Susan Lankester memang antara jiwa dalam siri ini sejak musim pertama. Tegas, cerewet sikit, tapi penuh kasih sayang. Pendek kata, jenis makcik yang semua orang ada dalam keluarga, kadang garang, tapi sebenarnya paling ambil berat.


Namun dalam episod 6, perjalanan watak Kak Ngah sampai ke penghujung. Babak pemergiannya bukan saja menyentuh hati keluarga dalam cerita, tapi juga penonton di rumah. Di media sosial, ramai kongsi rasa sedih, malah ada yang kata mereka tak sangka akan menangis tengok siri komedi keluarga.

Menariknya, musim ketiga ini jelas tampil dengan nada yang lebih matang. Kalau dulu fokus pada konflik ringan dan situasi kelakar, kali ini Keluarga Iskandar 3 berani menyentuh realiti hidup kehilangan, perubahan dan bagaimana sebuah keluarga belajar untuk terus kuat.


Pemergian Kak Ngah dalam jalan cerita jadi simbol kepada hakikat yang kita semua pernah atau akan lalui. Kehilangan orang tersayang memang perit, tapi kehidupan tetap berjalan. Yang tinggal hanyalah kenangan, kasih sayang dan kekuatan untuk meneruskan hidup bersama.

Itulah kekuatan sebenar siri ini, ia bukan lagi sekadar hiburan, tapi cerminan kehidupan keluarga Malaysia hari ini. Dekat, realistik dan mudah buat kita rasa “eh, macam keluarga aku je”.


Keluarga Iskandar 3 bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria dan turut boleh distrim menerusi aplikasi Sooka.


Untuk peminat drama tempatan, musim ini memang antara yang paling emosi. Jadi kalau belum tengok episod 6, mungkin boleh standby tisu dulu.

Comments


bottom of page