KEETH Lancar EP Hollywood Diaries, Bawa Rock Malaysia Ke Level Baharu
- Tasnim Ahmad
- 3 hours ago
- 2 min read
Muzik rock tempatan nampaknya belum “mati”. Malah kali ini, nama KEETH semakin kuat diperkatakan selepas kejayaannya muncul sebagai naib juara Asia New Beat Grand Finals di Bangkok baru-baru ini. Kini, penyanyi dan multi-instrumentalis itu tampil dengan projek baharu berjudul Hollywood Diaries iaitu sebuah EP yang bukan sekadar tentang muzik, tetapi perjalanan hidupnya sebagai anak Malaysia yang cuba menembusi industri rock antarabangsa.

Pelancaran rasmi EP Hollywood Diaries dijangka berlangsung dalam sebuah sidang media eksklusif di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 7 Mei 2026. Acara itu juga bakal menjadi simbol kepada “era baharu” KEETH selepas mula mencuri perhatian di pentas Asia.
Apa yang menarik, KEETH bukanlah nama asing dalam dunia persembahan rock. Sebelum ini, dia pernah membuka persembahan untuk Steven Adler daripada kumpulan legenda Guns N’ Roses di venue ikonik Whisky A Go Go, Los Angeles. Bukan itu saja, dia juga pernah mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts (WCOPA) dan membawa pulang enam pingat emas serta gelaran Division Champion.
Kalau tengok perjalanan kariernya, memang jelas KEETH cuba membawa identiti rock Malaysia ke tahap lebih global. Daripada festival muzik di Australia hinggalah Bali Blues Festival, penyanyi ini konsisten membawa elemen rock klasik dengan sentuhan moden yang lebih segar.
Melalui Hollywood Diaries, KEETH berkongsi kisah tentang impian, tekanan dan pengalaman hidupnya sepanjang berada di luar negara, terutamanya di Los Angeles. EP ini menggabungkan elemen heavy rock, blues, gospel dan pengaruh akustik yang menjadikan bunyinya lebih “international”, tetapi masih ada jiwa Malaysia.
Single yang menjadi fokus utama dalam EP ini ialah Fallin’ (Oceans). Lagu tersebut dikatakan antara karya paling emosional pernah dihasilkan KEETH. Menariknya, lagu ini diinspirasikan daripada minatnya terhadap surfing, boating dan pengembaraan budaya sepanjang berada di luar negara.
Berbeza dengan kebanyakan lagu rock moden yang lebih agresif, Fallin’ (Oceans) hadir dengan gabungan bunyi berinspirasikan Indonesia, elemen blues dan lirik puitis yang lebih mendalam. Kiranya lagu ini memang sesuai untuk pendengar yang suka rock tetapi masih mahu sentuhan emosi dan “feel”.
Dalam masa sama, KEETH juga berkongsi bahawa dia mahu membuktikan pemuzik Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan artis antarabangsa. Menurutnya, muzik rock tempatan masih relevan dan mempunyai identiti tersendiri jika diberi ruang lebih besar.
Menariknya, ketika industri muzik Malaysia sekarang banyak dipenuhi genre pop dan urban, kemunculan KEETH boleh dianggap sebagai “nafas baharu” untuk peminat rock tempatan. Bukan sekadar nostalgia, tetapi evolusi rock yang lebih moden dan dekat dengan generasi sekarang.

Kalau anda rindu muzik rock dengan persembahan bertenaga, riff gitar berat dan cerita yang lebih peribadi, Hollywood Diaries mungkin antara projek tempatan yang patut masuk playlist tahun ini.



Comments