Kedatangan Tak Direstui, Daiyan Trisha Bongkar Rahsia Keluarga Suami Dalam Rumah Menanti Cahaya
- Atiqah Halim

- 13 minutes ago
- 2 min read

Kepulangan yang sepatutnya diraikan bertukar menjadi mimpi ngeri. Itulah premis utama telefilem mega Rumah Menanti Cahaya yang bakal menguji emosi penonton hujung minggu ini menerusi kisah keluarga, kehilangan dan rahsia yang terlalu lama dipendam.
Diterbitkan hasil kolaborasi Malaysia dan Indonesia, Rumah Menanti Cahaya mengangkat naratif yang dekat dengan realiti. Tentang cinta yang tidak sempat diraikan, tentang duka yang belum sembuh, dan tentang seorang wanita yang hadir tanpa pernah diminta. Telefilem arahan Sharad Sharan ini bakal ditayangkan pada 14 Disember 2025, Ahad jam 9.00 malam secara serentak di TV3 dan Tonton.
Daiyan Trisha memegang watak utama sebagai Mira, seorang wanita Malaysia yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama Arman lakonan Diego Afisyah. Namun kebahagiaan itu hanya singgah sebentar apabila Arman terkorban dalam kemalangan jalan raya. Tanpa sempat bernafas, Mira terpaksa menjejakkan kaki ke rumah keluarga mentuanya di Jakarta bukan sebagai menantu yang dinanti, tetapi sebagai simbol kehilangan yang menyakitkan.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila keluarga Arman mengetahui Mira sebenarnya isteri yang dinikahi secara rahsia. Ketibaan yang sepatutnya membuka lembaran baharu bertukar menjadi pertembungan emosi. Anak-anak Pak Ahmad lakonan Mathias Muchus masih terperangkap dalam kesedihan dan kemarahan, lalu menjadikan Mira sasaran rasa tidak puas hati yang tidak terluah.
Dalam rumah yang sarat dengan ketegangan, Mira cuba bertahan. Setiap sudut menyimpan penolakan, setiap perbualan terasa dingin. Namun dalam usaha mencari kebenaran tentang masa lalu Arman, satu demi satu rahsia keluarga mula terbongkar. Luka lama kembali berdarah, dan persoalan tentang penerimaan serta pengampunan mula dipersoalkan.

Di saat Mira hampir tenggelam dalam rasa terasing, kehadiran Dr. Daniel lakonan Zarif Ghazzi menjadi satu-satunya tempat dia berpaut. Hubungan ini bukan tentang cinta klise, tetapi tentang sokongan dan empati ketika dunia terasa runtuh. Persoalannya, adakah cukup kuat rasa itu untuk menyatukan sebuah keluarga yang lama terpisah oleh kehilangan?
Telefilem ini turut diperkukuhkan dengan barisan pelakon hebat seperti Eldania Zahra, M. Aditya Zoni, Djihan Ranti, Shanice Margaretha Lie dan Diego Afisyah yang masing-masing memberi dimensi tersendiri kepada konflik keluarga yang dipaparkan.
Melengkapkan keseluruhan emosi naskhah ini ialah lagu runut bunyi Langit Tak Menjawab nyanyian Mary Grace terbitan Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama Alternate Records. Dicipta oleh Acap Salim dan Arif Izo, lagu ini menjadi refleksi kepada tema kehilangan dan pencarian jawapan yang menjadi nadi utama Rumah Menanti Cahaya.
Jika anda sukakan drama sarat emosi yang buat hati tak tenang dan kepala penuh tanda tanya, Rumah Menanti Cahaya wajib masuk dalam senarai tontonan. Jangan lepaskan tayangan perdananya pada 14 Disember 2025 jam 9.00 malam di TV3 dan Tonton.









Comments