Jimi Dedah Kejujuran Dalam Luka Melalui Single Terbarunya, Selingkuh
- Atiqah Halim
- 4 hours ago
- 2 min read

Jimi Kembali Dengan “Selingkuh”: Kejujuran Dalam Luka, Keberanian Dalam Muzik
Penyanyi berbakat, Jimi, tampil berani dengan single terbarunya berjudul Selingkuh, hasil terbitan Alternate Records. Karya ini bukan sekadar lagu tentang kecurangan, tetapi sebuah refleksi jujur tentang keberanian melepaskan cinta yang tidak lagi tulus.
Dicipta oleh Seow Seng Tack, Ja’a, dan Glowrush, Selingkuh membawa pendengar menyelami perjalanan emosi seseorang yang dikhianati daripada luka yang mendalam hingga ke kebangkitan demi maruah diri. Dengan gabungan unsur rock dan elektronik, Jimi berjaya menghadirkan karya yang segar, penuh tenaga, namun tetap sarat emosi.
Menurut Jimi, lagu ini mempunyai makna yang sangat peribadi baginya. “Saya telah bagi sepenuh tenaga dan jiwa untuk setiap notanya. Lagu ini bukan sekadar tentang kecurangan, tapi tentang kejujuran terhadap diri sendiri bila seseorang sedar bahawa terus bertahan hanya akan menyakitkan,” ujarnya.
Menariknya, proses rakaman vokal hanya mengambil masa kira-kira empat hingga lima jam, namun Jimi mengakui cabaran utamanya ialah untuk menyeimbangkan vibe rock yang agresif tanpa mengorbankan identiti vokalnya sendiri.
“Kali ini saya kena lebih agresif dari segi vokal dan tenaga, tapi tetap kena jaga emosi lagu tersebut,” tambahnya lagi.
Dari sudut penciptaan, trio komposer Seow Seng Tack, Ja’a dan Glowrush mendedahkan bahawa Selingkuh lahir daripada keinginan menyampaikan kekecewaan dengan penuh kejujuran tanpa sebarang penapisan.
“Frasa seperti ‘duit habis kau sapu’ dan ‘hanya dengan selamba’ memberi rasa seolah-olah luahan sebenar dari hati yang terluka,” jelas mereka.
Proses penulisan lagu ini turut menarik perhatian apabila ia dijalankan sepenuhnya ketika sambutan Tahun Baharu Cina, dengan semua komunikasi dan penyusunan muzik dilakukan hanya melalui WhatsApp, sebelum sesi rakaman akhir bersama Jimi dijalankan di studio.
Menggabungkan semangat rock klasik dengan elemen elektronik moden, Selingkuh memperlihatkan sisi baru Jimi yang lebih bertenaga dan ekspresif.
“Kelainan yang saya nak tonjolkan ialah keberanian untuk keluar daripada zon selesa. Mungkin orang belum tahu sisi lain saya yang lebih garang, bersemangat dan penuh live energy,” kata Jimi.
Lebih daripada sekadar lagu putus cinta, Selingkuh menjadi simbol kejujuran, keberanian, dan pembebasan diri daripada kepura-puraan. Dengan penyampaian vokal yang kuat serta lirik yang tajam, karya ini dijangka menjadi antara single paling berani dalam kerjaya Jimi setakat ini.
Selingkuh kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify. Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti mereka di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
Comments