Jason Mraz Bakal Gegar Kuala Lumpur Oktober Ini
- Tasnim Ahmad
- 6 minutes ago
- 2 min read
Peminat Jason Mraz di Malaysia, bersedia untuk menyanyi beramai-ramai! Penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu santai dan penuh feel-good itu bakal kembali mengadakan konsert di Kuala Lumpur selepas tujuh tahun tidak bertemu peminat tempatan.

Konsert yang merupakan sebahagian daripada Jason Mraz Asia Tour 2026 dijadual berlangsung pada 31 Oktober 2026 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. Berita ini pastinya menggembirakan ramai peminat yang membesar dengan lagu-lagu popular seperti I'm Yours, Lucky, The Remedy dan Geek In The Pink.
Kalau anda mengikuti perjalanan karier Jason Mraz, penyanyi berusia 48 tahun ini sebenarnya bermula sebagai pemuzik jalanan sebelum berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa. Gaya muzik akustik-pop yang santai dan mudah didengar menjadi antara faktor yang membuatkan namanya terus relevan sehingga hari ini.
Sepanjang kariernya, Jason Mraz telah menghasilkan sembilan album studio. Album terbaharunya, Grandma's Gospel Favorites, dilancarkan pada bulan lalu dan mempunyai nilai sentimental yang cukup istimewa. Album tersebut merupakan penghormatan kepada arwah neneknya, Mary Helen Mraz-Fowler, yang sangat meminati lagu-lagu berunsur inspirasi dan kerohanian.
Menurut Jason, album yang memuatkan 10 lagu itu diinspirasikan daripada elemen muzik country klasik, bluegrass dan gospel yang sering menjadi sebahagian daripada kehidupan neneknya. Ia turut membawa mesej tentang keselesaan, harapan dan penghargaan terhadap insan tersayang.
Kepulangan Jason Mraz ke Malaysia kali ini dilihat sebagai antara konsert antarabangsa yang dinantikan pada penghujung tahun 2026. Dengan deretan lagu hit yang masih menjadi kegemaran ramai sehingga kini, tidak mustahil konsert ini bakal menjadi malam penuh nostalgia buat peminat lama mahupun generasi baharu yang baru mengenali muziknya.
Bagi yang bercadang untuk hadir, harga tiket ditawarkan bermula RM158 hingga RM688. Jualan tiket akan dibuka pada 11 Jun bermula jam 10.50 pagi menerusi platform rasmi
penganjur.

Kalau anda masih menyimpan lagu I'm Yours dalam playlist atau pernah menjadikan Lucky sebagai lagu kegemaran suatu ketika dahulu, mungkin inilah masa terbaik untuk mengimbau kenangan sambil menikmati persembahan secara langsung daripada Jason Mraz sendiri.



Comments