Jam Misteri Atuk Buat Syafiq Dharma Terkenang Arwah Bapa
- Tasnim Ahmad
- 6 days ago
- 2 min read
Filem pendek raya Jam Misteri Atuk bukan sekadar karya hiburan biasa buat pelakon Syafiq Dharma. Sebaliknya, lakonan dalam naskhah itu membawa emosi yang cukup mendalam kerana jalan ceritanya mengingatkan dirinya kepada arwah bapanya, pelakon terkenal era 1980-an, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid.

Menurut Syafiq, beberapa babak dalam filem tersebut terasa sangat dekat dengan kehidupannya selepas kehilangan bapanya pada 25 November tahun lalu. Malah, emosi yang ditampilkan dalam lakonan bukan sekadar skrip, tetapi lahir daripada pengalaman sebenar.
“Cerita ini tentang seorang anak yang kehilangan bapa. Saya bersetuju berlakon kerana skripnya dekat dengan diri saya yang masih dalam proses ‘move-on’ selepas pemergian arwah,” katanya.
Tambahnya lagi, selepas seseorang yang kita sayang tiada, barulah kenangan bersama terasa lebih bermakna.
Filem pendek terbitan Avaris Studio ini juga membawa mesej tentang pentingnya menghargai masa bersama ibu bapa dan orang tersayang selagi mereka masih ada.
Dalam masa sama, Syafiq atau nama sebenarnya Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, yang kini sedang menyambung pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA) berharap penglibatannya dalam karya ini dapat membuka ruang untuk meneruskan legasi seni yang ditinggalkan arwah bapanya.
“Jika boleh, arwah bapa tentu mahu saya terus menghidupkan nama Dharma dalam bidang seni,” ujarnya.
Jam Misteri Atuk diarahkan oleh Ali Irman Bahrudden dan mengisahkan seorang cucu perempuan yang masih merindui arwah datuknya. Kisah menjadi lebih misteri apabila dia menemui jam tangan lama milik datuknya yang membawanya kembali ke masa lalu.
Selain Syafiq, filem pendek ini turut dibintangi Azhar Amir, Aleza Shadan, Wafariena Roslan, Kiky Hannah dan Aidern Shafiy.
Filem tersebut telah ditayangkan secara eksklusif pada 13 Mac 2026 di 10Stars Cinemas Hextar World, Empire City Mall, Damansara. Pada masa sama, ia juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Avaris Studio MY dan bakal disiarkan di Awesome TV.



Comments