“Itoshi-Hito”: Lagu Cinta Bahasa Jepun Nyanyian Shazia, Sentuhan Kreatif Pakya Senario
- N

- Dec 22, 2025
- 2 min read
Penyanyi dan pelakon berbakat, Shazia Rozaini, mencipta kelainan apabila tampil dengan single terbaharu berbahasa Jepun berjudul “Itoshi-Hito”, sebuah karya penuh emosi yang mengangkat tema rindu dan cinta terpendam. Lagu ini merupakan hasil ciptaan Illya Buang atau lebih dikenali sebagai Pakya Senario, figura versatil yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanah air.

“Itoshi-Hito” membawa maksud rinduku dalam bahasa Jepun, dan secara simboliknya menggambarkan perasaan seorang gadis Melayu yang menyimpan rasa cinta terhadap seorang jejaka di Jepun. Namun, perasaan itu tidak pernah diluahkan, malah hanya hidup dalam andaian dan persoalan yang berlegar di fikiran. Naratif ini menjadikan lagu tersebut dekat dengan emosi pendengar, terutamanya mereka yang pernah melalui pengalaman cinta tanpa kepastian.
Menurut Shazia, lagu ini hadir dengan makna yang cukup mendalam buat dirinya. Beliau menyifatkan “Itoshi-Hito” sebagai karya yang sangat romantik dan peribadi kerana ia mencerminkan kerinduannya terhadap seni nyanyian yang mula-mula membawa beliau ke dalam industri hiburan. Apabila menerima lagu ini daripada Pakya, Shazia mengakui berasa teruja kerana bukan sahaja melodinya indah, malah ia turut menggambarkan kehalusan dan keunikan budaya Jepun.

Sebelum ini, Shazia pernah meriliskan beberapa single nyanyian dan terus mengembangkan kerjayanya sebagai pelakon. Beliau aktif membintangi pelbagai drama serta telemovie terbitan stesen utama seperti TV3, Astro dan RTM. Selain itu, Shazia juga terlibat dalam dunia teater apabila bergandingan dengan pelakon hebat seperti Nabila Huda menerusi teater muzikal Masmoona yang dipentaskan baru-baru ini.
Bagi Pakya Senario pula, “Itoshi-Hito” lahir daripada minat beliau terhadap muzik era 70-an yang banyak dipengaruhi oleh karya-karya dari Jepun. Menurutnya, irama sebegitu sebenarnya sangat serasi dengan cita rasa pendengar Melayu. Justeru, idea untuk menghasilkan lagu Jepun yang boleh dinikmati oleh audiens tempatan dilihat sebagai satu eksperimen yang wajar dicuba.
Pakya turut memuji bakat nyanyian Shazia yang disifatkannya sebagai sangat berpotensi untuk diketengahkan dengan lebih serius dalam industri muzik. Perkenalan mereka bermula menerusi rancangan Sepahtu Reunion, dan dari situlah tercetusnya idea untuk menghasilkan single ini. Bagi Pakya, “Itoshi-Hito” merupakan satu langkah penting dalam perjalanan seni Shazia sebagai penyanyi.
Dengan adunan melodi sentimental, pengaruh budaya Jepun dan penceritaan yang halus, “Itoshi-Hito” menawarkan pengalaman emosi yang mendalam kepada para pendengar. Elemen rindu yang menjadi tunjang lagu ini menjadikannya sebuah karya yang istimewa dan mudah melekat di hati.

Syarikat rakaman Luncai Emas menyokong sepenuhnya usaha Pakya selaku komposer eksklusif mereka dalam memperkenalkan lagu berbahasa Jepun ke pasaran. Inisiatif ini dilihat sebagai peluang untuk karya tempatan menembusi pasaran antarabangsa sekali gus menyemarakkan lagi industri muzik Malaysia dengan kepelbagaian bahasa dan budaya.
Pengedaran digital serta hak cipta lagu “Itoshi-Hito” nyanyian Shazia Rozaini ditadbir oleh Luncai Emas. Lagu ini boleh didengari sepenuhnya di platform digital seperti Spotify, Apple Music dan iTunes, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.
Diharapkan rilisan terbaharu ciptaan Pakya Senario ini mampu menarik perhatian peminat muzik tempatan dan antarabangsa, serta membuka lebih banyak ruang buat Shazia Rozaini untuk terus berkembang sebagai artis serba boleh dalam industri hiburan.









Comments