Iskandar Zulkarnain Kembali dengan "Sewaktu Bahagia" - Lagu Penuh Emosi Terbitan Luncai Emas
- kaypohmedia
- Jul 22
- 2 min read
Setelah lama menyepi daripada dunia muzik, penyanyi pop rock Iskandar Zulkarnain akhirnya kembali dengan single solo terbaharunya berjudul Sewaktu Bahagia. Lagu beremosi ini bukan sahaja menandakan kebangkitan semula beliau, malah menjadi simbol fasa baharu dalam kerjaya seni Iskandar yang sebelum ini dikenali sebagai bekas vokalis Projektor Band.

Diterbitkan di bawah label terkemuka Luncai Emas, “Sewaktu Bahagia” merupakan hasil ciptaan Aidil AF dan Jeremy Erskine, yang diinspirasikan daripada kisah benar mereka sendiri pengalaman pahit putus cinta yang meninggalkan luka mendalam. Antara bait lirik yang paling mencengkam perasaan ialah “kau berubah tanpa ku sedar, kau hancurkan sewaktu bahagia”, menggambarkan kepedihan ditinggalkan oleh seseorang yang pernah memberi bahagia.
Pertemuan antara Aidil dan Iskandar berlaku secara kebetulan apabila Nabil, sepupu Iskandar, memperkenalkan mereka. Iskandar ketika itu sedang mencari ruang untuk kembali semula ke arena muzik, dan pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada kolaborasi bersama Luncai Emas.
“Lagu ini mencerminkan kisah peribadi saya, dan menjadi simbol kebangkitan semula saya dalam dunia muzik. Saya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Aidil AF dan Dato’ M. Nasir yang banyak membimbing saya dalam proses rakaman,” ujar Iskandar penuh syukur.

Lagu “Sewaktu Bahagia” diterbitkan oleh Hidayat Nasir, pemain gitar kumpulan Pitahati yang kini aktif sebagai penerbit muzik. Menurut Hidayat, antara cabaran utama adalah menghasilkan muzik yang selari dengan karakter maskulin Iskandar, sambil mengekalkan elemen emosi dalam melodi dan susunan muzik.
“Kolaborasi ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kepercayaan Luncai Emas kepada saya sebagai penerbit baharu. Kami turut dibantu oleh Zahar dari Pitahati sebagai pemain gitar, Faliq Mohd sebagai jurutera bunyi, dan abang Ujang dari kumpulan Exist yang memainkan dram dalam lagu ini,” jelas Hidayat.
Lebih istimewa, Dato’ M. Nasir turut terlibat secara langsung dalam membimbing Iskandar semasa sesi rakaman, memberikan sentuhan akhir yang memperkukuh penyampaian emosi dalam lagu tersebut.

Lagu “Sewaktu Bahagia” akan dilancarkan secara rasmi pada 25 Julai 2025 menerusi saluran YouTube Luncai Emas, beserta audio rasmi di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan Joox.
Dengan harapan agar lagu ini mampu menjadi lagu evergreen dan terus relevan merentasi generasi, Iskandar Zulkarnain mengajak para peminat untuk terus menyokong perjalanan seninya.
Comments