top of page

Imran Aqil Sertai Nasi Lemak Kopi O Sebagai Hos Baharu Mulai 2 Julai

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • 2 days ago
  • 1 min read

Program bual bicara pagi popular Nasi Lemak Kopi O (NLKO) bakal menyambut wajah baharu dalam barisan hosnya apabila personaliti muda berbakat, Imran Aqil, diumumkan sebagai pengacara terbaru bermula 2 Julai 2025!

 

Kehadiran Imran dijangka membawa nafas segar dan tenaga baharu kepada NLKO yang kini bersiaran setiap Rabu hingga Jumaat, jam 10:30 pagi di TV9 serta boleh distrim di platform Tonton.

 

Setelah kembali ke layar kaca sejak Januari 2024, NLKO terus kekal sebagai rancangan pilihan ramai dengan gabungan informasi, hiburan dan inspirasi, dikemudi hos-hos versatil seperti Fizo Omar, Affiza Azmi, Fakhrul Radhi, Ähmad Barr, Muaz Mohamed, Irfan Ali, Syamira Nazir dan Qila Shahirah.

 

Imran mula mencuri perhatian menerusi program realiti dan kini aktif sebagai pencipta kandungan serta pengacara.

 

Turut terlibat dalam misi kemasyarakatan dan bantuan kemanusiaan, beliau dikenali sebagai figura muda yang membawa aura positif dan dekat dengan masyarakat.

 

“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga NLKO. Sebagai seorang yang suka berinteraksi dan berkongsi cerita, saya berharap kehadiran saya dapat menceriakan pagi penonton dan sama-sama menyebarkan inspirasi melalui segmen-segmen yang menarik dan bermanfaat,” ujar Imran.

 

NLKO mengekalkan tarikannya dengan segmen-segmen seperti Isu Semasa, Aspirasi, Solusi Resepi, Poket Suri, Khabar Dari Palestin, serta persembahan busker tempatan. Turut diketengahkan ialah kisah-kisah usahawan tempatan yang menjadi inspirasi masyarakat.

 

Jangan lepaskan peluang menyaksikan penampilan sulung Imran Aqil di NLKO dan saksikan bagaimana wajah baharu ini menambah seri pagi anda dengan topik-topik santai, segar dan penuh makna.


Comments


bottom of page