Iklan Raya “Bila” Sentuh Isu Soalan Kahwin, Ramai Boleh Relate
- Tasnim Ahmad
- 7 hours ago
- 1 min read
Iklan Raya “Bila” tahun ini tampil dengan tema yang ramai boleh relate. Soalan wajib setiap kali balik kampung: “Bila nak kahwin?” Ringan bunyinya, tapi tekanannya bukan kecil.

Terbitan Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd dan diarahkan oleh Nadhir Nasar, naskhah ini mengisahkan Siti, wanita bekerjaya berusia 30 tahun yang setiap kali Raya terpaksa berdepan desakan keluarga. Demi elak soalan panas, dia mengupah ‘fake boyfriend’ setiap tahun.
Namun kali ini lain ceritanya. Alif, pelakon sambilan yang dibawa pulang, tanpa sengaja menawan hati seluruh keluarga dan dalam masa sama membuatkan Siti menilai semula keutamaan hidupnya.
Apa yang buat “Bila” menarik, ia tak terlalu dramatik. Ada komedi romantik, ada momen menyentuh hati, dan paling penting, dekat dengan realiti masyarakat Malaysia hari ini.
Barisan pelakon seperti Yusuf Bahrin, Erysha Emyra serta penampilan khas Liza Hanim menambah lagi rasa hangat dan ‘feel’ Raya dalam cerita ini.
Menurut produksi, soalan “bila” mungkin nampak biasa, tetapi di sebaliknya ada tekanan dan emosi yang jarang diluahkan. Dan itulah yang cuba disampaikan secara santai, tapi bermakna.
Iklan Raya “Bila” akan ditayangkan di YouTube Laugh Out Loud Entertainment pada 7 Mac 2026, jam 8 malam.



Comments