Huminodun: Sebuah Kisah Agung dalam Teater Muzikal Penuh Magis dan Emosi
- Ain Najihah
- May 23
- 1 min read

Teater Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 dan 31 Mei serta 1 Jun 2025, jam 8.30 malam.
Teater ini mengangkat kisah tentang legenda rakyat Sabah, iaitu pengorbanan Puteri Huminodun yang merupakan seorang puteri suci rela berkorban demi menyelamatkan rakyat dan tanah kelahirannya daripada kebuluran.

Pementasan ini diterbitkan oleh KGE Studio dan Persatuan Bantuan Masyarakat Sabah (BANTU) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), DBP dan Pertubuhan Anak Karya Malaysia (PAKAR) serta disokong dana daripada Yayasan Hasanah dan ArtFast.
Teater Huminodun ini diarahkan oleh Nawfal Zamri berdasarkan karya asal Satra Nurizman dan olahan daripada Amsalib Pisali.
Muzikal ini menggabungkan unsur teater, muzik etnik dan visual kontemporari. Barisan kreatif termasuk Anas Amdan (pengarah muzik), Shakkir Latiff (komposer) dan Hamid Chan (koreografer).

Manakala, teater ini juga dibarisi pelakon utama termasuk Queenenra Francine, Faizan Deraman, Dr Lenny Erwan dan Verd.
Menurut ketua projek, Satra Nurizman, teater ini bukan sekadar persembahan seni tetapi sebuah jambatan budaya.
“Teater ini menjadi sebuah jambatan budaya yang menyatukan masyarakat melalui warisan cerita rakyat yang hampir dilupakan,” jelasnya.
Pementasan ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu usaha mengangkat semula warisan cerita rakyat yang kaya nilai budaya dan kemanusiaan.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kisah agung Huminodun yang sarat dengan emosi dan kaya dengan nilai budaya. Pembelian tiket akan dijual di ticket2u.my .
Comments