Hospital Loveline: Scha Elinnea & Syarul Ezani Dilamun Cinta Dalam Drama Romantik Komedi Slot Akasia TV3
- kaypohmedia
- 2 days ago
- 2 min read
Apabila si ceria bertemu dengan si tegas, lahirlah sebuah kisah cinta yang tidak diduga. Drama terbaharu slot Akasia TV3, Hospital Loveline, tampil dengan gandingan mantap Scha Elinnea dan Syarul Ezani, sekali gus mencuri perhatian peminat drama romantik komedi tempatan.

Berlatarbelakangkan suasana hospital, Hospital Loveline mengisahkan perjalanan Sophia (Scha Elinnea), seorang ahli fisioterapi yang ceria dan penuh kasih sayang, serta Dr. Arfan (Syarul Ezani), seorang doktor muda yang disiplin dan berkarisma. Pertemuan mereka bermula dengan insiden cemas yang akhirnya menumbuhkan benih cinta di sebalik dinding hospital.
Drama arahan Ng Ken Kin ini diterbitkan oleh Orangetree Production Sdn Bhd dan bakal menemui penonton selama 13 episod bermula 4 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.
Selain Scha Elinnea dan Syarul Ezani, drama ini turut dibintangi Sean Lee, Jaja Iliyes, Hanna Aqeela, Kismah Johar, Dato’ Jalaluddin Hassan, Zarul Umbrella dan Apich Lo. Kehadiran barisan pelakon berbakat ini menambah warna pada jalan cerita yang penuh dengan elemen romantik, konflik keluarga, serta gelagat mencuit hati.
Sophia yang membesar bersama neneknya, Opah Tijah (Kismah Johar), lebih mengutamakan keluarga berbanding cinta. Namun, segalanya berubah apabila Dr. Arfan bukan sahaja menjadi doktor peribadi Opah, tetapi juga lelaki yang berjaya mencuri hatinya. Dengan campur tangan Opah, misi menyatukan dua hati ini penuh dengan adegan manis, lucu dan menyentuh perasaan.
Lebih menarik, drama ini turut menyelitkan konflik dalaman hospital apabila Dr. Farhad (Dato’ Jalaluddin Hassan), ayah Dr. Arfan, berdepan tekanan daripada adiknya Dr. Malik (Zarul Umbrella) yang mempertikaikan kepimpinannya sebagai pengarah hospital.
Menurut Scha Elinnea, Hospital Loveline bukan sekadar kisah cinta biasa:
“Watak Sophia sangat dekat di hati saya kerana dia seorang yang ceria, spontan dan penuh kasih sayang. Tetapi dalam masa sama, dia juga berdepan cabaran besar. Saya yakin penonton akan terhibur dan dapat merasai sisi emosi yang mendalam dalam drama ini.”
Dengan gabungan romantik, komedi, dan konflik penuh emosi, Hospital Loveline dijangka menjadi pilihan utama penonton yang merindui naskhah cinta segar dan penuh warna.
📺 Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Hospital Loveline, bermula 4 September 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3.
Comments