top of page

Horror Raya Plong! Teroka Sisi Gelap Aidilfitri

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Setiap tahun kita disajikan dengan lagu raya yang ceria dan penuh gelak tawa. Tapi tahun ini, Horror Raya daripada Plong! datang dengan pendekatan berbeza. Lagu raya, ya tapi dengan sentuhan emosi yang lebih mendalam dan jujur.


Single berjudul Horror Raya (Bila Tiba Raya) ini akan dilancarkan pada 13 Mac 2026, tepat ketika musim Aidilfitri. Sejak dengar tajuk pun dah boleh rasa, ini bukan lagu raya tipikal.


Walaupun menggunakan istilah “Horror”, lagu ini bukan tentang hantu atau elemen seram literal. Sebaliknya, ia menggambarkan rasa panik, sunyi dan kenangan yang kadang-kadang datang tanpa diundang bila Syawal menjelma.


Tak semua orang menyambut raya dengan perasaan yang sama. Ada yang rindu kampung halaman, ada yang beraya tanpa insan tersayang, dan ada yang masih memendam cerita. Emosi inilah yang cuba diketengahkan oleh Plong! iaitu sisi gelap Hari Raya yang jarang kita dengar dalam muzik tempatan.


Dari segi muzik, mereka masih mengekalkan elemen melodi klasik lagu raya yang penuh nostalgia. Bezanya, ada sentuhan sinematik dan sedikit dramatik yang menjadikan Horror Raya kedengaran lebih misteri dan berlapis.


Konsepnya mudah. Raya itu tentang kembali. Bukan sekadar balik kampung, tetapi kembali kepada hubungan, kenangan dan ruang untuk bermaaf-maafan.


Horror Raya (Bila Tiba Raya) akan tersedia di semua platform penstriman digital bermula 13 Mac 2026.


Kadang-kadang, kita tak perlukan lagu raya yang terlalu bising. Cukup satu lagu yang buat kita berhenti sekejap dan rasa apa yang selama ini kita pendam.


Dan mungkin, Horror Raya adalah lagu itu.

Comments


bottom of page