top of page

Heliza & Hazwani Helmi Semarak Semangat Perjuangan Gaza Dalam Single Baharu “Mengukir Takdir”

  • Writer: N
    N
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Pasangan adik-beradik terkenal, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi, kembali dengan sebuah karya penuh jiwa dan makna berjudul “Mengukir Takdir”. Lagu baharu ini merupakan hasil ciptaan Wan Saleh bersama Hazwani Helmi, dengan susunan muzik dan terbitan penuh di bawah Alternate Records & Talents.

ree

Mengukir Takdir bukan sekadar sebuah lagu balada spiritual, tetapi nadi perjuangan dan ketabahan yang diilhamkan daripada misi kemanusiaan dan kekuatan saudara seagama di Gaza. Ia mengangkat tema kebergantungan kepada Allah SWT, semangat juang, serta harapan dalam menghadapi ujian hidup.


“Kami bersyukur kerana dari awal perbincangan bersama pasukan Alternate, wujud keserasian yang akhirnya membawa kepada cadangan untuk bekerjasama dengan Wan Saleh. Beliau lebih mengenali cara nyanyian kami dan memahami arah muzik yang kami ingin sampaikan,” ujar Heliza dan Hazwani.

Proses rakaman lagu ini bukan sesuatu yang mudah. Menurut mereka, rakaman demo dan versi akhir masing-masing mengambil masa sekitar lima jam, memerlukan teknik vokal yang tinggi serta pelbagai lapisan suara termasuk koir dan elemen muzik Arab.


“Mengukir Takdir merupakan lagu yang besar — bukan sahaja dari segi melodi, tetapi juga maknanya. Ia mencabar kemampuan vokal kami, namun dengan bimbingan Wan Saleh dan guru vokal, kami dapat menzahirkan emosi yang kami mahu sampaikan,” tambah mereka.

Antara keunikan utama lagu ini ialah gabungan genre moden dan elemen tradisi Arab yang memberikan dimensi baharu dalam muzik spiritual tempatan. Pergantian vokal antara Heliza dan Hazwani menambahkan kesan dramatik yang menyentuh hati pendengar.


Walaupun terinspirasi daripada isu Gaza, mesej lagu ini sebenarnya bersifat universal. Setiap pendengar boleh mengaitkannya dengan kisah hidup, perjuangan diri, keluarga, atau bahkan ketabahan wanita di luar sana.


“Setiap kita adalah pejuang. Walau apa pun cabaran hidup, Allah telah menjanjikan bahawa setiap kesulitan hadir bersama kemudahan, seperti dalam Surah Al-Insyirah ayat 5-6. Lagu ini kami tujukan sebagai penguat semangat untuk semua,” jelas mereka lagi.
ree

Mengukir Takdir turut menandakan kerjasama pertama Heliza & Hazwani Helmi bersama Alternate Records & Talents, dan mereka optimis akan terus menghasilkan lebih banyak karya yang bermakna selepas ini.


Mengukir Takdir kini boleh didapati di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Comments


bottom of page