top of page

“Hadirmu Ramadhan” – Refleksi Kerinduan, Kesyukuran dan Ketenangan Jiwa Black Hanifah

  • Writer: N
    N
  • 23 hours ago
  • 2 min read

Menjelang Ramadan, lagu Hadirmu Ramadhan nyanyian Black Hanifah muncul tepat pada waktunya bukan sekadar lagu bermusim, tetapi sebuah karya yang membawa rasa rindu, syukur dan ketenangan jiwa. Lagu ini hadir dengan mesej reflektif yang mengajak kita berhenti seketika daripada kesibukan harian dan kembali mengingati makna sebenar bulan yang dinanti-nantikan ini.

Menurut Black, atau nama komposernya Nyawablack, lagu ini lahir daripada perasaan peribadi setiap kali Ramadan menjelma. Suasana malam yang sunyi, doa yang penuh kesyahduan dan rasa rindu yang sukar digambarkan menjadi inspirasi utama. Bagi penyanyi ini, Ramadan mempunyai keunikan tersendiri kerana ia mampu melembutkan hati manusia walaupun hanya untuk tempoh yang singkat, tetapi kesannya cukup mendalam.


Apa yang menarik, lagu ini turut mendapat sentuhan penyanyi Hazama yang terlibat sebagai penulis lirik bersama menggunakan nama pena Kadok. Kolaborasi ini berlaku secara tidak dirancang apabila perbualan santai selepas mendengar demo membuka ruang untuk memperhalusi lirik agar lebih selari dengan emosi dan melodi. Hasil gabungan idea tersebut menjadikan Hadirmu Ramadhan sebuah karya yang seimbang dan lebih berjiwa.

Dari segi pembikinan, prosesnya bermula dengan melodi yang lembut dan menenangkan sebelum lirik dibentuk secara berperingkat. Setiap bait ditulis dengan teliti supaya mesej yang disampaikan terasa jujur dan tidak berlebihan seolah-olah dialog seorang insan dengan Tuhannya. Cabaran terbesar adalah memastikan lagu ini kekal ikhlas dan tidak klise, memandangkan lagu bertemakan Ramadan sering terdedah kepada pengulangan tema yang sama.


Berbeza dengan kebanyakan lagu bermusim yang lebih menonjolkan suasana perayaan, Hadirmu Ramadhan memilih pendekatan yang lebih introspektif. Fokusnya bukan pada kemeriahan, tetapi pada muhasabah diri, peluang kedua dan pencarian makna Ramadan dalam kehidupan. Lagu ini mengingatkan bahawa Ramadan adalah tetamu istimewa yang membawa cahaya peluang untuk memperbaiki diri, memaafkan dan kembali kepada fitrah.


Keseluruhan proses penghasilan mengambil masa beberapa minggu, walaupun idea asal sebenarnya sudah tercetus sejak setahun lalu sebelum direalisasikan tahun ini. Keistimewaan karya ini terletak pada sentuhan emosi yang dekat dengan pengalaman ramai, menjadikannya sesuai didengar ketika waktu sahur, perjalanan ke tempat kerja atau saat malam yang tenang.

Lagu Hadirmu Ramadhan boleh mula distrim di semua platform digital bermula 24 Februari 2026, manakala video muzik rasmi sudah ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 20 Februari 2026 jam 3 petang. Bagi yang sedang mencari lagu untuk mood Ramadan yang lebih tenang dan bermakna, karya ini mungkin boleh jadi antara pilihan dalam playlist anda.

Comments


bottom of page