top of page

Good Boys Go To Heaven: Bila Trauma Jadi Cerita Utama

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 11 hours ago
  • 2 min read

Kalau anda peminat cerita berat dan penuh emosi, Good Boys Go To Heaven mungkin akan jadi siri wajib tonton bulan ini. Siri thriller psikologi terbaharu Astro Originals ini bukan sekadar kisah jenayah biasa, ia sentuh isu trauma dan kehilangan yang dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.


Ceritanya berkisar tentang Yasser, seorang bapa yang melalui mimpi ngeri paling ditakuti iaitu kehilangan anak sendiri. Anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum ditemui dalam keadaan tragis. Dari situ, jalan cerita mula membawa penonton menyelami sisi gelap emosi manusia iaitu rasa bersalah, trauma, dan persoalan yang tak mudah dijawab.


Menariknya, siri ini digerakkan oleh penulis skrip terkenal, Mira Mustaffa, yang sebelum ini dikenali dengan karya-karya berimpak tinggi. Kali ini, dia tampil sebagai showrunner, memberi nafas lebih mendalam kepada genre thriller psikologi tempatan yang jarang diterokai secara serius.


Dari segi lakonan, memang tak main-main. Beto Kusyairy sebagai Yasser tampil dengan emosi yang cukup berat, manakala Zahirah MacWilson sebagai Dahlia melengkapkan dinamika cerita dengan karakter yang penuh konflik. Barisan pelakon lain seperti Amerul Affendi, Firdaus Karim dan Amanda Ang turut menguatkan lagi penceritaan.


Diarahkan oleh Ariff Zulkarnain, yang sebelum ini berjaya dengan One Cent Thief, siri ini mengekalkan kualiti sinematografi yang kemas dan intens. Setiap babak dibina dengan teliti untuk buat penonton rasa “terperangkap” dalam dunia cerita penuh suspens dan tekanan emosi.


Apa yang membezakan Good Boys Go To Heaven dengan drama lain ialah keberaniannya mengangkat isu kehilangan kanak-kanak ialah sesuatu yang bukan sekadar fiksyen, tapi realiti yang semakin membimbangkan. Ia bukan hanya hiburan, tapi juga peringatan kepada masyarakat.


Siri ini akan mula ditayangkan pada 8 Mei 2026, setiap Jumaat. Kalau jenis suka binge-watch, anda boleh tengok lebih awal secara On Demand di Astro GO atau Sooka seawal tengah malam. Kalau lebih suka tengok TV, ia akan disiarkan di Astro Ria dan Astro Citra pada jam 9 malam.


Akhir kata, Good Boys Go To Heaven bukan siri yang anda boleh tonton sambil lalu. Ini jenis cerita yang akan buat anda fikir panjang dan mungkin juga rasa tak selesa. Tapi itulah kekuatan sebenar naskhah ini.

Comments


bottom of page