top of page

Gayong 2 Angkat Perjuangan Meor Abdul Rahman Membanteras Rasuah & Jenayah

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 11 hours ago
  • 2 min read

Filem Gayong 2 bakal membawa penonton menyelami sisi perjuangan yang lebih gelap dalam kehidupan pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman. Jika filem pertama lebih memperkenalkan dunia persilatan, kali ini ceritanya lebih mendalam dengan konflik jenayah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua.


Diterbitkan oleh SOL Pictures Sdn. Bhd., filem ini meneruskan kisah pendekar legenda tersebut dalam fasa hidup yang jauh lebih mencabar. Bukan sekadar sebagai guru silat, tetapi sebagai pegawai CID dalam pasukan polis di bawah pentadbiran British di Singapura.


Menurut Penerbit Eksekutif Khairul Anuar Latip, jalan cerita Gayong 2 masih berpaksikan kepada kisah sebenar kehidupan Meor Abdul Rahman, terutamanya nilai dan prinsip hidup yang dipegangnya. Namun, ia dipersembahkan dengan pendekatan dramatik dan sinematik agar lebih dekat dengan emosi penonton.


Filem arahan Faisal Ishak ini kembali menampilkan Beto Kusyairy sebagai Meor Abdul Rahman, bersama Nabila Huda dan Syafie Naswip. Turut membintangi filem ini ialah Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen, Hanna Aqeela dan Ayez Shaukat.


Menariknya, Miss Malaysia 2024, Sandra Lim juga membuat penampilan sulung dalam filem epik Melayu ini, sekali gus menambah warna baharu kepada barisan pelakon.


Berlatar belakang Tanah Melayu selepas perang, keadaan negara digambarkan kelihatan aman di permukaan tetapi sebenarnya bergolak dari dalam. Dalam situasi itu, Meor Abdul Rahman berkhidmat sebagai pegawai CID dan mula menemui rangkaian rasuah yang berlaku dalam pasukan polis sendiri.


Di pihak atasan, seorang pegawai berpangkat tinggi bernama Malcom memanipulasi undang-undang untuk kepentingan peribadi. Sementara di jalanan pula, kuasa jenayah dikuasai oleh ketua gangster Lee Khoon yang mengawal kegiatan perjudian, keganasan dan penyeludupan candu dengan perlindungan pihak tertentu.


Di sinilah bermulanya dilema besar buat Meor Abdul Rahman sama ada nak mempertahankan prinsip atau melindungi keselamatan orang yang disayanginya.


Menurut pengarah Faisal Ishak, Gayong 2 bukan sekadar filem aksi atau kesinambungan cerita semata-mata. Sebaliknya ia juga tentang warisan, identiti dan harga diri seorang lelaki yang diuji oleh keadaan sekeliling.


Jika dalam filem pertama penonton diperkenalkan dengan semangat persilatan, kali ini cerita lebih menelusuri harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan prinsip dalam dunia yang penuh kompromi.


Gayong 2 bukan sekadar filem aksi tentang silat. Ia juga kisah tentang pilihan hidup, keluarga dan keberanian mempertahankan kebenaran walaupun berdepan risiko besar.


Filem ini dijadualkan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 April 2026.


Comments


bottom of page