Fred Chan Gegar Bollywood Sebagai Antagonis Utama Dalam Filem 120 Bahadur
- Atiqah Halim

- 1 day ago
- 2 min read

Satu lagi momen bangga untuk industri seni Malaysia bila pelakon tempatan, Fred Chan, berjaya tembus layar besar Bollywood sebagai watak antagonis utama dalam filem sejarah berskala mega, 120 Bahadur, yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Filem produksi Excel Entertainment dan Trigger Happy Studio ini mengangkat kisah benar pasukan Charlie Company yang terdiri daripada 120 anggota di bawah pimpinan Major Shaitan Singh Bhati. Dibintangi Farhan Akhtar dan Raashii Khanna serta arahan Razneesh Razy Ghai, naskhah ini mengupas tema keberanian, solidariti dan pengorbanan dalam peristiwa bersejarah Battle of Rezang La tahun 1962.

Di tengah lautan nama besar Bollywood, Fred Chan muncul sebagai Captain Aimer dan terus mencuri perhatian. Walaupun screentime beliau tak panjang, tenaga dan penghayatan dia memang padu sampai wataknya melekat dalam kepala penonton. Seorang lagi bakat Malaysia, pengarah dan pelakon teater Seng Soo Ming, turut tampil sebagai Major Memeti dan menguatkan lagi lapisan emosional cerita.

Untuk realisme yang mantap, 120 Bahadur digerakkan dengan kolaborasi pasukan kreatif antarabangsa dari Jepun, Czechoslovakia dan United Kingdom. Banyak adegan penting dirakam di lokasi asal pertempuran bagi memastikan suasana dan emosi sejarah itu dapat dirasa penonton.
Perjalanan Fred Chan Dari Bilik Darjah Ke Set Filem Antarabangsa

Fred Chan bukan nama baru dalam dunia seni, tapi perjalanan beliau bukan yang biasa kita dengar. Selepas lebih sedekad bekerja sebagai pendidik, dia buat pusingan hidup drastik pada 2019 untuk kembali ke dunia lakonan yang pernah dia cuba semasa zaman universiti. Sejak itu, dia fokus seratus peratus pada kerja kreatif, sertai kelas lakonan, attend casting tanpa henti dan bina portfolio melalui projek filem, teater, TV dan kandungan berjenama di Malaysia, Singapura dan luar negara.
Fred pernah membintangi filem crowdfunded Pendatang pada 2023, muncul dalam produksi Bollywood Jigra, serta terlibat dalam projek seperti Titoudao dan Emerald Hill The Little Nyonya Story. Selain kerja lakonan, beliau aktif dalam capoeira dan pernah mengikuti bengkel lagak ngeri anjuran Finas dan Promasta, menjadikan beliau lebih yakin dalam adegan aksi.
Dengan disiplin kerja yang tinggi dan attitude positif, tidak hairan rakan pengarah dan penerbit sering rekomendasikan beliau untuk projek baharu. Bakat sampingan beliau yang suka buat vocal impressions pun selalu jadi penceriaan suasana rehearsal.
120 Bahadur kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Jangan lepaskan peluang tengok sendiri bagaimana dua bakat Malaysia berjaya menyelit dengan gaya dalam produksi antarabangsa yang penuh intensiti ini.









Comments