top of page

Filem “5 Bomoh” Satirakan Dunia Tahyul & Bomoh Scammer

  • Writer: N
    N
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Kalau sebut pasal bomoh, memang rakyat Malaysia ada macam-macam cerita. Ada yang percaya, ada yang gelak, ada juga yang pernah kena “scam”. Disebabkan itu, filem 5 Bomoh nampaknya datang tepat pada masanya dengan jalan cerita yang dekat dengan realiti masyarakat sekarang tapi dibungkus dalam gaya hiburan yang lebih santai dan sinis.

Dijadualkan tayang di pawagam bermula 4 Jun 2026, filem 5 Bomoh tampil dengan gabungan pelakon popular tempatan termasuk Aaron Aziz, Scha Alyahya, Khairy Jamaluddin dan Afdlin Shauki. Ya, kombinasi cast dia memang jenis boleh buat orang curious terus.


Filem arahan Syed Fariz ini mengisahkan Rashdan, seorang ahli perniagaan yang terlalu percaya kepada amalan tahyul warisan keluarga. Berbeza dengan isterinya, Sakinah, yang lebih berpaksikan sains dan doa sebagai jalan utama dalam kehidupan.

Konflik mula jadi lebih tegang bila anak mereka, Nisa, gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM. Rashdan yang terlalu obses mahu anaknya sambung belajar ke luar negara akhirnya mengambil keputusan ekstrem membawa keluarganya menjelajah seluruh negara mencari bomoh terbaik demi memastikan keputusan SPM anaknya berubah.


Tapi macam biasa, bila terlalu terdesak, ramai pula “penyelamat” muncul. Sepanjang perjalanan itu, mereka bertemu pelbagai bomoh dan dukun pelik yang rupanya hanya scammer mengambil kesempatan terhadap ketakutan dan harapan orang lain.

Menariknya, 5 Bomoh bukan sekadar filem komedi biasa. Dari sinopsis pun dah nampak filem ini cuba menyentuh isu masyarakat seperti budaya percaya tahyul, tekanan akademik dan sikap terlalu obses dengan kejayaan anak. Dalam masa sama, elemen humor dan karakter unik dijangka jadi tarikan utama penonton.


Antara karakter yang dijangka mencuri perhatian ialah kemunculan Amy Search sebagai Bomoh Alami dan Johan sebagai Bomoh Dr Neo. Nama karakter pun dah cukup buat ramai tertanya-tanya betapa “chaotic” perjalanan keluarga ini nanti dekat skrin.


Selain itu, kemunculan Khairy Jamaluddin dalam filem ini juga antara benda yang paling ramai nak tengok. Ramai netizen pastinya curious macam mana beliau akan tampil dalam dunia lakonan komersial tempatan.


Diterbitkan oleh Skop Productions bersama Primeworks Studios, filem ini nampaknya cuba membawa vibe satira sosial yang jarang diangkat dalam filem arus perdana tempatan.

Dengan tema yang dekat dengan masyarakat Malaysia, 5 Bomoh mungkin jadi antara filem tempatan yang akan buat penonton gelak sambil “terasa”. Lagi-lagi bila isu percaya bomoh, tekanan exam dan scammer memang benda yang masih wujud dalam kehidupan seharian sekarang.

Comments


bottom of page