Exists Sedia Persembahan Paling Eksklusif Hujung 2025 Selepas Tarikh Baharu Diumumkan
- Atiqah Halim

- 2 hours ago
- 2 min read

Exists kembali memberi nafas segar kepada dunia konsert tempatan apabila mereka menegaskan bahawa penganjuran EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ bukan sekadar persembahan biasa. Konsert yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober 2025 kini ditunda ke 20 Disember 2025 selepas Exists dan JioBuddy mencapai kesepakatan untuk memastikan konsep premium benar benar diterjemahkan kepada pengalaman penonton.
Menurut Sean Ng dari JioBuddy, penundaan ini perlu agar keseluruhan produksi dapat mencapai standard eksklusif yang dijanjikan. Mereka tidak mahu memberikan persembahan ala kadar kerana tema kali ini menuntut sesuatu yang lebih intim, terperinci dan dekat dengan peminat. Exists turut bersetuju bahawa konsert ini perlu membawa makna premium yang sebenar dengan pendekatan lebih personal.
Musa selaku pemain bass menjelaskan bahawa konsert ini akan menggabungkan elemen muzik dan penceritaan. Ia merangkumi sesi sembang santai, peluang bertanya soalan serta kupasan mendalam mengenai lagu lagu hit Exists yang disusun dalam empat segmen khas. Peminat bakal mengetahui momen sentimental di balik proses rakaman, penghasilan dan perjalanan emosi setiap lagu yang dibawakan.
Along pula menegaskan bahawa pengalaman seperti ini tidak pernah ditawarkan dalam mana mana konsert Exists sebelum ini. Ajai turut menyifatkan malam tersebut sebagai ruang untuk peminat merasai nilai sentimental yang ingin disampaikan kumpulan itu dengan lebih mendalam.

Bagi menambah nilai premium, Exists menawarkan dua hadiah eksklusif untuk peminat bertuah. Hadiah pertama ialah gitar akustik Manuel Rodriguez milik Along yang pernah digunakan untuk rakaman Setanggi Syurga, Salam Rindu serta beberapa persembahan khas. Hadiah kedua ialah set dram PDP hasil kerjasama dengan JS Music. Kedua dua hadiah ini bukan sekadar memorabilia tetapi mempunyai sejarah tersendiri dalam perjalanan muzik Exists.
Ujang menyatakan bahawa segala pengumuman mengenai penyertaan cabutan bertuah akan dibuat di media sosial dan menasihatkan peminat untuk terus mengikuti perkembangan sehingga hari konsert.

Penundaan tarikh ini juga memberi ruang tambahan untuk Exists memperkemas aspek teknikal agar persembahan yang ditampilkan benar benar mencerminkan kualiti yang mereka perjuangkan sejak mula. Ezad menjelaskan bahawa mereka ingin memastikan setiap penonton merasai pesona mewah yang berbaloi dengan harga tiket.
JioBuddy pula yakin dengan reputasi Exists yang sudah lama melahirkan karya berkualiti sejak 1991. Mereka memberi jaminan bahawa persembahan dari segi muzik dan audio bakal mencapai piawaian premium yang sejajar dengan judul konsert ini. Seramai 100 peminat bertuah juga bakal menerima peluang bergambar secara peribadi bersama setiap anggota Exists pada malam tersebut.

Tiket dalam kategori Premium RM588, VIP RM488 dan Diamond RM368 boleh didapati di www.jiotix.asia. Kategori Diamond yang mendapat permintaan tinggi turut ditambah bilangannya. Pembeli tiket sedia ada tidak perlu bimbang kerana tiket mereka masih sah untuk tarikh baharu.
Untuk pembelian secara bundle, potongan harga sehingga 40 peratus disediakan bagi jualan korporat. Bagi penyertaan cabutan bertuah, pembeli tiket Premium menerima 3 peluang, VIP 2 peluang manakala Diamond 1 peluang.
Konsert ini dijangka menjadi penutup paling bermakna buat Exists pada tahun 2025 dengan gabungan muzik, naratif dan pengalaman sentimental yang dibina khas untuk peminat setia mereka.









Comments