Elegan berkebaya, Noryn Aziz raikan identiti Melayu dalam musik video Kaki Kiriku
- Atiqah Halim
- 2 hours ago
- 2 min read
Selepas beberapa tahun menyepi dengan balada penuh jiwa Kertas, penyanyi jazz tersohor tanah air Noryn Aziz kini muncul semula dengan single terbaru berjudul Kaki Kiriku. Lagu ini bukan sekadar comeback biasa, tetapi hadiah istimewa buat perminat yang setia menyokong perjalanan seninya.

Menariknya, “Kaki Kiriku” membawakan konsep Jazz Joget Revival yang merupakan gabungan jazz klasik, joget tradisional dan sentuhan Parisian jazz. Hasil ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng, lagu ini tampil segar dan unik, jauh berbeza daripada karya terdahulu Noryn.
Paling mencuri perhatian adalah liriknya yang sarat dengan tongue twister Melayu, “Kakakku kata kaki kiriku…” Menurut Noryn, permainan lidah ini bukan sekadar hiburan, tetapi cara menyeronokkan untuk meraikan keindahan bahasa Melayu. “Ramai yang akan tersasul bila cuba lirik ini. Ini yang saya mahukan!” katanya.
Muzik video arahan Revo pula menambah sari dengan visual penuh budaya. Noryn tampil elegan dalam kebaya rekaan pereka tempatan, melambangkan warisan, keagungan dan kekuatan wanita Melayu.
“Bagi saya, kebaya bukan sekadar pakaian. Ia lambang identiti,” jelasnya.

Tak cukup dengan single baru, Noryn turut mengumumkan showcase ekslusif This Is Noryn Aziz yang bakal berlangsung pada 19 September 202 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur. Showcase ini hanya dibuka untuk 500 peminat bertuah sahaja.
Menariknya, persembahan ini akan dibahagikan kepada dua babak utama. Babak pertama menampilkan sesi jazz dan soul Noryn dengan lagu-lagu klasik serta karya terbarunya, manakala babak kedua meraikan elemen R&B dengan persembahan penuh bertenaga serta kolaborasi khas.
“Ini lebih daripada sekadar konsert. Ia adalah kisah saya melalui musik. Jazz bukan ekslusif atau asing, ia sebahagian daripada kita, bahasa kita, ritma kita,” ujar Noryn. Showcase ini dijangka menjadi perjalanan emosi yang memperlihatkan sesi peribadi dan seni Noryn yang sebenar.
Dengan hanya satu malam dan ticket yang sangat terhad, peminat pasti tidak mahu terlepas peluang untuk menyaksikan persembahan istimewa ini. Kalau korang nak dengar sendiri “Kaki Kiriku” secara live dan alami magik Noryn Aziz lebih dekat, pastikan 19 September itu dah ditanda dalam kalendar!
Comments