Ejen Ali The Movie 2 Kini di Netflix, Muzik Video Epik Hanya Kamu Rasmi Dilancarkan!
- N
- 17 hours ago
- 1 min read
Misi masih aktif! Filem animasi kebanggaan Malaysia, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini boleh distrim secara rasmi di Netflix bermula 1 Oktober 2025 di rantau terpilih seluruh dunia. Hari ini, 2 Oktober 2025, peminat boleh terus menikmati filem pecah panggung ini di platform penstriman terbesar dunia.

Bagi meraikan pencapaian ini, muzik video rasmi Hanya Kamu nyanyian legenda Datuk M. Nasir juga telah dilancarkan secara eksklusif di saluran YouTube Ejen Ali pada jam 8.00 malam tadi.
Diarahkan oleh Ghazi Maslan, muzik video ini dibuka dengan transmisi mesej khas dari MATA yang diaktifkan oleh Datuk M. Nasir sendiri. Ia kemudian memaparkan semangat ejen-ejen muda menyahut misi, diselang-seli dengan babak penuh aksi daripada filem.
Lebih menarik, penonton juga dapat menyaksikan penampilan Azri Yunus, komposer dan penulis lirik Hanya Kamu, yang menjadi penggerak kreatif di sebalik karya penuh inspirasi ini.
Lagu ini mengangkat tema mempercayai diri dan berani bangkit sebagai versi terbaik, seiring dengan perjalanan konflik watak utama dalam EATM2 menjadikannya pelengkap emosi yang menguatkan lagi pengalaman tontonan.
Untuk rekod, EATM2 berjaya mengutip lebih RM62.5 juta daripada tayangan di pawagam Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Kemboja dan Thailand. Filem ini juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila dicalonkan dalam kategori Filem Animasi Terbaik di Silk Road International Film Festival ke-12 di Fuzhou, China minggu lalu.
Dengan pelancaran di Netflix, Ejen Ali The Movie 2 kini lebih mudah diakses oleh peminat di seluruh dunia. Kalau anda belum tonton atau mahu ulang kembali misi penuh aksi ini, sekaranglah masanya.
Kerja kita belum selesai, ejen. Strim Ejen Ali The Movie 2 di Netflix hari ini, dan jangan lupa saksikan muzik video rasmi Hanya Kamu di YouTube Ejen Ali!
Comments