Ejen Ali The Movie 2 Kembali! Curi Tumpuan di Tayangan Perdana
- Nurul Safiah
- May 20
- 1 min read

Filem animasi tempatan paling dinanti, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), mencetuskan keterujaan luar biasa apabila tayangan perdananya berlangsung meriah malam semalam di IOI City Mall, Putrajaya.
Dengan kehadiran barisan selebriti, penggiat industri dan peminat setia, acara tersebut menjadi saksi kepada detik penting dalam dunia animasi Malaysia apabila sekuel Ejen Ali kembali ke layar perak dengan misi yang lebih mencabar.
Filem ini dijadual menemui penonton di seluruh negara mulai 22 Mei 2025, membawa Ali, seorang ejen muda di kota futuristik Cyberaya berdepan misi terbesarnya menerusi program elit SATRIA yang menggunakan teknologi canggih dan kecerdasan buatan (AI).

Pengarah filem merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, En. Usamah Zaid Yasin, menyifatkan perjalanan menyiapkan EATM2 sebagai satu cabaran besar yang penuh kesabaran dan dedikasi.
“Ia bukan hanya filem, tetapi hadiah buat peminat yang setia menanti sejak ia diumumkan sebelum pandemik,” katanya.

Tayangan perdana semalam turut menyaksikan detik penuh emosi apabila Dato’ M. Nasir menyampaikan lagu tema filem, Hanya Kamu, secara langsung di hadapan para tetamu.
Persembahan tersebut disusuli dengan kemunculan mengejut Mamak Maju, lagu viral dari filem pertama, melalui persembahan flash mob yang menghiburkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Pn. Nini Yusof berkata, kejayaan francais Ejen Ali menjadi bukti kekuatan naratif dan kreativiti tempatan.
“Ia menunjukkan bahawa karya Malaysia mampu menambat hati penonton antarabangsa,” ujarnya.
Saksikan Ejen Ali The Movie 2 di pawagam bermula 22 Mei 2025!

Comments