top of page

Ejen Ali The Movie 2 Catat RM55.1 juta, Raih Kutipan Animasi Tertinggi Sepanjang Zaman Di Malaysia

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • 8 hours ago
  • 1 min read

Filem animasi tempatan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus mencipta kejutan apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM55.1 juta!

 

Keadaan ini sekaligus menjadikannya filem animasi dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Malaysia, mengatasi semua filem animasi tempatan mahupun antarabangsa yang pernah ditayangkan di negara ini.

 

Lebih membanggakan, kutipan luar biasa ini turut mengalahkan beberapa filem blockbuster Hollywood dan Asia dalam tempoh dua bulan tayangan, sekali gus membuktikan bahawa karya animasi tempatan berteraskan identiti Malaysia mampu menawan hati jutaan penonton.

“Kejayaan ini milik semua ejen yang berdiri bersama kami sejak awal. Ia bukan sekadar hasil kerja WAU Animation tetapi juga sokongan padu dari Primeworks Studios serta para peminat yang menjadi nadi utama kejayaan ini,” kata pengarah filem, Usamah Zaid Yasin.

 


Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof, turut menyifatkan pencapaian ini sebagai simbol kekuatan kolaborasi dan kepercayaan.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan agar kita dapat capai sasaran seterusnya iaitu RM60 juta. Hanya dengan sokongan semua, kami dapat realisasikan impian untuk menghasilkan naskhah Ejen Ali yang seterusnya,” katanya.

Bermula sebagai siri animasi di televisyen, Ejen Ali kini sudah berkembang menjadi sebuah francais animasi mega dengan jalan cerita yang matang, aksi memukau dan nilai-nilai tempatan yang menyentuh jiwa pelbagai lapisan masyarakat.

 

Ejen Ali The Movie 2 masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Rakyat Malaysia diseru untuk terus memberi sokongan kepada karya tempatan ini.

 

Kerja kita belum selesai, misi kini diteruskan ke RM60 juta!



Comments


bottom of page