Ejen Ali Gegarkan Pentas Dunia M7, Animasi Tempatan Kini Jadi Ikon E-Sukan Global
- Atiqah Halim

- Jan 15
- 2 min read

Nama Ejen Ali kini bukan sekadar gah dalam dunia animasi tempatan, malah berjaya mencuri tumpuan di pentas e-sukan antarabangsa. Watak animasi kebanggaan Malaysia ini mencipta sejarah tersendiri apabila membuat penampilan sulung di Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang M7 menerusi kempen Cuti-Cuti MLBB Bersama Ejen Ali.
Dilancarkan sempena cuti persekolahan dan kemeriahan M7 di Jakarta, kempen ini menyaksikan Ejen Ali tampil sebagai simbol keberanian, kerjasama dan semangat juang yang dekat dengan jiwa generasi muda Asia Tenggara. Lebih menarik, kolaborasi berterusan antara francais animasi tempatan dan pembangun permainan antarabangsa, MOONTON Games, membuktikan kandungan Malaysia mampu menembusi pasaran global tanpa perlu mengorbankan identiti sendiri.

Sepanjang kejohanan, Ejen Ali bukan sekadar muncul sebagai visual promosi, tetapi turut terlibat dalam pelbagai aktivasi di sekitar Jakarta. Kehadirannya membuka ruang interaksi secara langsung dengan peminat dan komuniti gaming, sekali gus menghubungkan dunia animasi, e-sukan dan budaya pop dalam satu pengalaman yang segar dan relevan.
Ganjaran Eksklusif, Peminat Jangan Lepaskan Peluang
Bermula sekarang hingga 16 Januari 2026, pemain MLBB di Malaysia dan Indonesia boleh menuntut ganjaran Ejen Ali edisi terhad menerusi aktiviti dalam permainan serta cabaran khas di TikTok. Antara ganjaran percuma yang ditawarkan termasuk emote eksklusif “Sedia!” dan “Satria, Bangkit!”, selain spawn effect unik yang menampilkan gaya tersendiri wira Malaysia ini di Land of Dawn.

Untuk rekod, Kejohanan Dunia M7 merupakan edisi ketujuh siri kejohanan M yang menghimpunkan 22 pasukan terbaik dunia. Berlangsung di Jakarta dari 3 hingga 25 Januari 2026, kejohanan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai USD 1 juta. Lebih daripada sekadar pertandingan, M7 kini diiktiraf sebagai pentas budaya global yang menggabungkan dunia permainan, hiburan dan identiti nasional.
Kemunculan Ejen Ali di M7 secara tidak langsung mengangkat wira serantau ke tahap lebih tinggi, sekali gus membuktikan animasi tempatan mampu berdiri sebaris dengan jenama antarabangsa.

Orang ramai dan peminat MLBB dijemput untuk menyertai kempen Cuti-Cuti MLBB Bersama Ejen Ali dan menuntut ganjaran eksklusif sebelum 16 Januari 2026. Untuk info lanjut dan perkembangan terkini, ikuti saluran rasmi MLBB dan Ejen Ali di media sosial serta sertai perbualan menggunakan tanda pagar #CutiCutiMLBB #MLBBxEjenAli #MobileLegendsBangbang #EjenAli









Comments