top of page

Dendam Seorang Mentua Jadi Drama Pilihan Sekeluarga, Netizen Kongsi Momen Rare Depan TV

  • Writer: N
    N
  • 33 minutes ago
  • 2 min read

Kalau kebiasaannya setiap ahli keluarga sibuk dengan telefon masing-masing, lain pula ceritanya dengan Dendam Seorang Mentua. Drama yang semakin hangat diperkatakan ini bukan sahaja mencuri perhatian penonton kerana jalan ceritanya yang penuh emosi, malah turut menjadi sebab ramai keluarga berkumpul depan TV pada waktu petang.


Baru-baru ini, satu perkongsian di Threads menarik perhatian netizen apabila seorang pengguna memuat naik gambar ahli keluarganya yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia sedang menonton drama tersebut bersama-sama di ruang tamu. Lebih mencuit hati, kapsyen yang ditulis turut membuatkan ramai terhibur.


"Thankyou DSM mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga 🤣"

Perkongsian itu pantas mendapat perhatian ramai dan ramai netizen mengakui situasi yang sama turut berlaku di rumah mereka. Ada yang menganggap drama ini sebagai "waktu wajib" untuk berkumpul selepas seharian sibuk dengan urusan kerja dan sekolah.

Fenomena ini menunjukkan bahawa sesebuah drama tempatan masih mampu menjadi medium yang menyatukan keluarga. Dalam era penstriman dan hiburan digital yang semakin pelbagai, momen menonton bersama-sama seperti ini sebenarnya semakin jarang berlaku.


Memasuki episod ke-20, Dendam Seorang Mentua semakin membuatkan penonton tidak senang duduk. Konflik demi konflik yang dipaparkan dalam setiap episod membuatkan ramai tertanya-tanya apakah kesudahan dendam yang menjadi tunjang utama jalan ceritanya.


Selain kekuatan skrip dan penceritaan, drama arahan Feroz Kader ini turut mendapat pujian kerana barisan pelakonnya yang berjaya menghidupkan setiap watak dengan berkesan. Antaranya ialah Yusry Abdul Halim, Tracie Sinidol, Chacha Maembong, Hariz Hamdan dan Intan Ladyana.

Gabungan lakonan mantap dan jalan cerita yang dekat dengan emosi penonton menjadi antara faktor mengapa drama ini terus menjadi bualan di media sosial setiap hari.


Bagi yang masih belum mengikuti drama ini, Dendam Seorang Mentua disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6 petang di Astro Prima. Ia juga boleh distrim menerusi platform Astro GO dan Sooka.


Apa pun, menarik untuk melihat bagaimana sebuah drama tempatan mampu mencipta momen kebersamaan dalam keluarga. Kalau rumah anda pun mula senyap bila drama ini bersiaran, nampaknya anda bukan seorang sahaja.

Comments


bottom of page