top of page

Dain Said Kembali dengan Kulit Wayang, Filem Seram Penuh Emosi

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 2 days ago
  • 1 min read



Dunia perfileman tempatan bakal digegarkan dengan kehadiran filem seram psikologi terbaru berjudul “Kulit Wayang”, arahan pengarah tersohor Dain Said. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Mei 2025, dan menjanjikan pengalaman sinematik yang penuh emosi, budaya, dan ketegangan mistik.





Filem ini mengisahkan Pak Lee, seorang tok dalang yang terkenal, lakonan Fattah Amin, yang hidupnya berubah drastik selepas kehilangan tragis anak perempuannya, Ayu. Trauma dan misteri mula menyelubungi kehidupannya yang sebelum ini diwarnai dengan seni tradisional.


Kisah menjadi lebih menarik apabila Dian, seorang penyelidik luar, tiba di kampung bersama anaknya, Dewi. Kehadiran mereka membongkar rahsia gelap yang menghantui kampung tersebut. Walaupun penduduk percaya tragedi itu berpunca daripada buaya, Pak Lee yakin ada dalang sebenar di sebalik kematian anaknya dan bertekad mencari kebenaran.



Kulit Wayang bukan sekadar filem seram biasa, ia turut mengangkat warisan budaya wayang kulit serta menyentuh konflik dalaman seorang ayah yang bergelut dengan kesedihan, trauma dan dendam. Sentuhan psikologi dalam naratif menjadikan filem ini lebih mendalam dan menyentuh perasaan.



Majlis Malam Gala dan Sidang Media filem ini telah berlangsung dengan meriah di GSC Mid Valley Megamall pada 22 April. Antara yang hadir ialah pelakon utama seperti Fattah Amin dan Pekin Ibrahim diikuti dengan pelakon sampingan Ezzaty Abdullah dan Amanda Ang serta pengarah Dain Said sendiri.


Penonton boleh mengikuti maklumat terkini tentang filem ini melalui laman sosial rasmi GSC Movies dan saluran YouTube GSCM Originals.


Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Kulit Wayang yang akan menghiasi pawagam di seluruh negara mulai 1 Mei 2025!

Comments


bottom of page