Shin Ye Eun Terajui Drama ‘High School Queen’
- Tasnim Ahmad
- 2 days ago
- 2 min read
Nama Shin Ye Eun sekali lagi jadi sebutan peminat K-drama apabila dia disahkan sebagai watak utama dalam drama “High School Queen”. Kali ini bukan sekadar pegang peranan penting, tapi inilah projek pertama yang benar-benar meletakkan dia sebagai teraju solo.
Menurut sumber industri pada 26 Februari, pelakon ini bakal mengetuai drama adaptasi webtoon popular Naver dengan judul sama. Dalam “High School Queen”, Shin Ye Eun akan memikul keseluruhan naratif sebagai karakter utama. Besar juga tanggungjawab tu.
Drama ini mengisahkan Kim Cheong Ha, seorang ratu era Joseon yang juga mahir bermain pedang, yang kemudian bereinkarnasi sebagai pelajar sekolah menengah moden bernama Park Da Jin. Bayangkan seorang ratu zaman dulu tiba-tiba kena hadap drama sekolah dan pembuli. Tapi jangan silap, dia masih ada skil seni mempertahankan diri dari zaman Joseon.
Konsep dia memang padu. Ada aksi, ada elemen balas dendam yang ‘puas hati’, dan dalam masa sama diselitkan kisah romantik yang bergerak antara masa lalu dan masa kini. Studio produksi Studio Dragon sebelum ini memaklumkan drama ini dirancang sebagai siri panjang, dengan aksi yang kekal setia kepada versi webtoon, tapi akan dikembangkan dari segi percintaan dan penceritaan.
Lebih menarik, CJ ENM juga merancang untuk mengembangkan IP ini ke medium lain termasuk filem dan animasi. Nampaknya “High School Queen” bukan sekadar drama biasa, tapi projek jangka panjang.
Untuk Shin Ye Eun sendiri, watak ini agak mencabar. Dia perlu membawa dua sisi berbeza. Seorang ratu yang berwibawa dan pelajar sekolah moden yang berdepan realiti remaja hari ini. Dual-layered role macam ni memang boleh jadi turning point dalam kerjaya.
Sebelum ini, Shin Ye Eun sudah membuktikan versatiliti menerusi drama seperti Revenge of Others, The Glory dan Jeongnyeon: The Star is Born. Dia juga bakal muncul dalam drama ENA, Doctor Somebody. Dengan rekod sebegini, tak hairanlah jangkaan terhadap “High School Queen” agak tinggi.

Peminat K-drama di Malaysia memang suka genre aksi balas dendam campur elemen fantasi macam ni. Kalau jalan cerita dan lakonan jadi, tak mustahil drama ini boleh jadi antara sebutan hangat bila ditayangkan nanti.
Apa pun, ini jelas fasa baru buat Shin Ye Eun. Dari pelakon yang sering mencuri perhatian, kini dia berdiri sebagai heroin utama. Kita tunggu sama ada ratu Joseon versi moden ini benar-benar mampu ‘menakluk’ hati penonton.






Comments