Colleen Hoover Bakal Gegar Dunia Pembaca Dengan Thriller Terbaru Woman Down
- Atiqah Halim
- 21 hours ago
- 1 min read
Colleen Hoover, penulis yang digelar ratu drama dan trauma oleh peminat, kini bersedia menggoncang dunia buku sekali lagi dengan karya terbarunya Woman Down yang akan terbit pada 13 Januari 2026. Hoover sendiri mengaku, novel ini mungkin yang paling gelap pernah dia hasilkan.

“Ia sebuah novel thriller, mungkin antara yang paling gelap saya pernah tulis,” katanya ketika muncul di rancangan Today pada 10 September lalu.
Kalau korang rasa masih belum pulih daripada kejutan novel Verity (2018) yang sampai hari ini masih jadi bualan BookTok, Woman Down dijangka lebih mencabar jiwa. Lagi-lagi bila Verity kini sedang difilemkan dengan barisan pelakon besar seperti Anne Hathaway, Josh Hartnett dan Dakota Johnson.
Kisah Woman Down mengangkat watak Petra Rose, seorang penulis yang mengasingkan diri di kabin tepi tasik demi mencari ilham. Namun, ketenangannya diganggu dengan kehadiran seorang detektif bernama Nathaniel Saint yang membawa berita mengejutkan. Lama-kelamaan, Nathaniel mula mengambil ruang terlalu besar dalam hidupnya, hingga Petra terpaksa berdepan masa silam dan mempertahankan reputasinya. Memang penuh misteri dan ketegangan.
Novel terakhir Hoover, Too Late, diterbitkan pada 2023 selepas asalnya hanya dimuat naik di Wattpad tujuh tahun sebelumnya. Jadi tak hairan peminat dah lama menunggu buah tangan baru daripadanya. Hoover yang kini berusia 45 tahun turut menitipkan ucapan:
“Saya nak ucap terima kasih sebab sentiasa sabar dan menyokong saya. Ambil masa juga untuk siapkan buku ni, tapi saya sangat teruja nak kongsi dengan anda semua.”

Tak pelik kalau komuniti pembaca di TikTok sudah mula “heboh awal-awal”, siap ada yang menjangka Woman Down bakal jadi fenomena setanding Verity. Kalau It Ends With Us meletakkan Hoover sebagai ratu kisah cinta penuh luka, Woman Down mungkin akan kukuhkan gelarannya sebagai ikon thriller pula.
Comments