top of page

“Cinta Gila” Jadi Luahan Mariam Saim, OST Perempuan Tidak Ternikah Sarat Emosi

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 1 day ago
  • 2 min read
ree

Selepas berjaya mencuri perhatian ramai apabila melangkah ke Top 5 One In A Million, Mariam Saim kini kembali dengan sisi yang lebih matang dan berani menerusi single terbaharunya berjudul Cinta Gila. Lagu ini bukan sekadar karya baharu, malah menjadi runut bunyi rasmi untuk drama slot Akasia TV3, Perempuan Tidak Ternikah yang kini sedang hangat diperkatakan.


Di bawah naungan Alternate Records & Talents, Cinta Gila menandakan satu fasa penting dalam perjalanan seni Mariam apabila lagu ini menjadi karya pertama yang dicipta sepenuhnya oleh dirinya sendiri, dari penulisan lirik hingga gubahan muzik. Lebih peribadi, lebih jujur, dan jelas terasa dekat dengan emosi pendengar.


Mengangkat kisah hubungan yang penuh persoalan, Cinta Gila membawa pendengar menyelami konflik antara cinta yang mendewasakan dan cinta yang melukakan. Ia bercerita tentang usaha untuk melepaskan, namun masih terikat dengan kenangan yang sukar dipadam. Naratif ini menjadikan lagu tersebut cukup relevan dengan realiti ramai, terutamanya mereka yang pernah berada dalam hubungan yang tidak pernah benar-benar selesai.


Dari segi bunyi, Cinta Gila hadir dengan susunan muzik minimalis yang diperkemaskan dengan elemen strings, mencipta nuansa Indo pop balada yang galau. Pendekatan ini memberi ruang sepenuhnya kepada vokal dan lirik Mariam untuk berbicara, tanpa perlu elemen berlebihan. Setiap bait terasa jujur, seolah-olah Mariam sedang berkongsi cerita hatinya sendiri.


Menurut Mariam, proses penulisan lagu ini mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu bagi memastikan aliran emosi dalam lirik dan melodi terasa semula jadi. Menariknya, rakaman vokal pula disiapkan dalam tempoh sekitar dua jam sahaja. Ketika merakam bahagian korus, Mariam mengakui dia kembali mengimbas kisah yang menjadi inspirasi lagu tersebut sehingga terasa sebak. Rakaman itu akhirnya dipilih sebagai versi terakhir kerana keikhlasan emosinya berjaya dirakam dengan baik.


Cinta Gila kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify dan YouTube. Lagu ini bukan hanya pelengkap kepada jalan cerita Perempuan Tidak Ternikah, tetapi juga berdiri sendiri sebagai karya yang mampu menyentuh jiwa pendengar yang pernah terluka dalam cinta.


Untuk perkembangan terkini tentang Alternate Records & Talents, ikuti akaun rasmi mereka di Facebook serta Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.

Comments


bottom of page