top of page

Cherpen ft Chubb-E: Single Reggae ‘Patah Hati’ Bawa Vibes Baru

  • Writer: N
    N
  • 13 hours ago
  • 2 min read

Kumpulan Cherpen kembali dengan sesuatu yang berbeza. Kali ini, mereka cuba genre reggae dalam single terbaru berjudul ‘Patah Hati’, hasil kolaborasi pertama bersama rapper popular Chubb-E. Lagu ini bukan sekadar tentang cinta yang kecewa, tapi juga tentang menghargai orang yang benar-benar ikhlas dalam hidup kita.

Jika sebelum ini Cherpen sinonim dengan lagu balada dan berentak perlahan seperti ‘Pasti’, ‘Lepaskan’ dan ‘Kali Ini’, ‘Patah Hati’ hadir dengan vibe santai dan bersahaja, walaupun tajuknya kelihatan muram. Vokalis Cherpen, Nemo, berkongsi:

“Sebelum ini, orang kenal Cherpen dengan lagu-lagu ‘slow’ tapi kali ini kami tampilkan lagu bergenre reggae dengan elemen santai. Tajuknya ‘Patah Hati’ tetapi muziknya lebih ‘feel good’ dan tidak terlalu muram.”

Idea kolaborasi dengan Chubb-E pula muncul secara spontan ketika Cherpen sedang merangka lagu ini. “Kami mula cuba bahagian rap dan rasa serasi. Akhirnya, jumpa Chubb-E dan terus klik,” tambah Nemo.

Lagu ini menyentuh tema patah hati dan kekecewaan dalam percintaan, yang dekat dengan pengalaman peribadi anggota band serta kisah orang sekeliling mereka. Menurut Nemo:

“Sedikit sebanyak ia memang berdasarkan pengalaman kami sendiri. Kalau tengok orang sekeliling, kebanyakannya pernah melalui fasa bercinta, putus dan akhirnya patah hati.”

Lirik yang ditulis bersama Chubb-E memberi mesej utama: hargailah orang yang ikhlas mencintai kita. Chubb-E sendiri menganggap kolaborasi ini sebagai pengalaman bermakna:

“Bila Cherpen tunjuk demo lagu ini, saya terus tertarik dengan ‘vibes’ lagu. Ia bukan sekadar kecewa tetapi tentang menghargai orang yang betul-betul ikhlas. Proses rakaman pun smooth dan penuh idea.”

Dari segi muzik, ‘Patah Hati’ cuba gabungkan dua dunia berbeza: reggae santai Cherpen dan rap Chubb-E. Kombinasi ini memberi rasa segar kepada peminat, sekaligus membuka ruang baru untuk eksperimen muzik kedua-dua pihak. Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital dan dimainkan di stesen radio utama tempatan.

Comments


bottom of page