Kes Zara Qairina: Buli Sampai Nyawa Melayang… Mimi Lana Lantang Bersuara!
- kaypohmedia
- 2 days ago
- 1 min read

Pelakon jelita Mimi Lana tampil lantang bersuara menuntut keadilan buat arwah Zara Qairina Mahathir, mangsa buli yang kisahnya mengundang kemarahan rakyat Malaysia.
Menerusi Instagram Story, Mimi meluahkan rasa kesal dan marah, sambil menggesa pihak berkuasa membawa semua pelaku ke muka pengadilan. Tegasnya, zaman persekolahan adalah masa untuk menimba ilmu dan membina masa depan, bukannya terjebak dengan perlakuan jenayah.
Tegasnya, pihak kerajaan tidak boleh mengambil mudah isu ini dan perlu bertindak segera kerana ia sudah menjadi masalah sosial yang semakin sukar dibendung.
Dalam tegurannya, Mimi mengingatkan pelajar sekolah supaya tidak mensia-siakan zaman persekolahan dengan perbuatan yang boleh merosakkan masa depan.
“Mak ayah hantar sekolah suruh cari ilmu, bukan nak berlagak gengster. Kalau rasa ‘power’ sangat dan tak boleh kawal emosi, pergi ambil kelas seni mempertahankan diri, masuk gelanggang lawan orang yang setanding,” kata aktres berusia 30 tahun itu.
Mimi mengingatkan bahawa punca buli boleh bermula dari rumah atau di sekolah. Justeru, semua pihak ibu bapa, guru, komuniti, rakan sebaya, dan kerajaan memikul tanggungjawab untuk membanterasnya.
“Ini tentang masa depan generasi kita. Buli bukan budaya. Buli bukan normal,” tegasnya lagi.
Kes arwah Zara Qairina adalah peringatan tegas bahawa gejala buli di Malaysia berada pada tahap membimbangkan. Hanya melalui tindakan tegas, pendidikan, dan solidariti bersama, budaya ini dapat dihapuskan demi keselamatan anak-anak kita.
Comments