BRU: Masin & Manis Kembali Dengan Kisah Baharu, Siap Ada Tiga Menu Kopi Eksklusif
- N

- 14 hours ago
- 2 min read
Peminat BRU: Masin & Manis bakal disajikan dengan lebih daripada sekadar drama. Kali ini, dunia kopi yang menjadi nadi penceritaan siri tersebut dibawa keluar dari skrin menerusi kolaborasi bersama HWC COFFEE yang memperkenalkan tiga menu minuman edisi khas. Menariknya, setiap minuman ini mempunyai kaitan dengan perjalanan watak utama dalam siri vertikal terbaharu di Tonton.

Sebelum ini, siri BRU mencipta fenomena tersendiri apabila mencatat lebih 244 juta capaian dan 14 juta tontonan. Malah, siri tersebut turut dinobatkan sebagai National Winner dalam kategori Best Original Production by a Streamer (Fiction) di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2025. Kejayaan itu menjadi titik tolak kepada penghasilan BRU: Masin & Manis, yang meneruskan dunia sama dengan kisah dan cabaran baharu.
Dalam musim kali ini, penonton akan mengikuti perjalanan Mohsin lakonan Imranul Effendy, seorang barista berbakat yang berdepan gangguan keresahan sehingga impiannya untuk menjuarai pertandingan barista terjejas. Demi mencari semula keyakinan diri, Mohsin membawa diri ke sebuah kampung sebelum bertemu Manis, lakonan Ellyza Azizi. Pertemuan itu bukan sahaja mengubah kehidupannya, malah mengembalikan semangatnya terhadap dunia kopi dan hubungan sesama manusia.

Daripada pengalaman Mohsin dan Manis inilah lahirnya konsep Salted Series, yang menjadi elemen penting dalam perkembangan jalan cerita siri ini. Ia juga menjadi inspirasi kepada kolaborasi bersama HWC COFFEE yang membolehkan peminat menikmati sendiri minuman yang diinspirasikan daripada drama tersebut.
Sebanyak tiga pilihan minuman eksklusif diperkenalkan iaitu Salted Spanish Latte, Salted Hazelnut Cocoa Latte dan Salted Matcha Latte. Ketiga-tiga menu edisi terhad ini sudah boleh didapati di cawangan HWC COFFEE yang mengambil bahagian bermula 6 Julai 2026.
Menurut penerbit siri, Nik Amir Mustapha, kopi dalam BRU bukan sekadar pelengkap visual, sebaliknya menjadi medium yang menghubungkan setiap watak dan perkembangan cerita. Kolaborasi ini diharap dapat memberi pengalaman lebih dekat kepada penonton apabila mereka bukan sahaja mengikuti kisah di skrin, malah dapat merasai sendiri inspirasi di sebalik minuman yang dipaparkan dalam drama.

Dari segi format, BRU: Masin & Manis tampil berbeza apabila diterbitkan sebagai drama vertikal sebanyak 45 episod dengan durasi sekitar dua hingga tiga minit setiap episod. Gabungan elemen drama ringan, komedi dan kisah kehidupan seharian menjadikannya sesuai ditonton secara santai di telefon pintar.
Selain Imranul Effendy dan Ellyza Azizi sebagai teraju utama, siri ini turut menampilkan kemunculan semula Siti Hariesa sebagai cameo yang kembali membawa watak dari musim pertama. Kehadirannya membantu menghubungkan kesinambungan dunia BRU yang sudah dikenali peminat sebelum ini.

BRU: Masin & Manis akan mula ditayangkan secara eksklusif di Tonton bermula 22 Julai 2026 dengan episod baharu setiap hari Rabu. Kalau anda jenis yang tak boleh berpisah dengan kopi atau gemar menonton drama pendek yang mudah diikuti, mungkin ini antara siri yang boleh dimasukkan dalam senarai tontonan bulan ini. Bonusnya, anda juga boleh menikmati sendiri tiga menu Salted Series di HWC COFFEE sambil mengikuti perjalanan Mohsin dan Manis.



Comments