Agent Kim Reactivated Raih Rating 21.6%
- Tasnim Ahmad
- 16 hours ago
- 1 min read
Agent Kim Reactivated terus menjadi bualan peminat drama Korea apabila berjaya mencatat rating 21.6% hanya selepas empat episod ditayangkan. Drama lakonan So Ji-sub itu membuktikan gabungan aksi dan emosi kekeluargaan masih menjadi formula yang diminati ramai.
Menurut Nielsen Korea, episod keempat yang disiarkan pada Sabtu lalu merekodkan rating nasional sebanyak 21.6%, sekali gus meletakkan drama SBS itu sebagai drama Jumaat-Sabtu ketiga dengan rating tertinggi dalam sejarah saluran berkenaan.
Peningkatan ratingnya juga cukup memberangsangkan. Drama ini bermula dengan 9.5% pada episod pertama sebelum meningkat kepada 15.7%, kemudian 18.8% dan akhirnya melepasi angka 20% hanya dalam tempoh empat episod.
Drama yang mula bersiaran pada 26 Jun itu mengisahkan Kim, bekas ejen khas yang memilih kehidupan biasa sebagai pekerja bank demi memenuhi hasrat terakhir isterinya. Namun, apabila anak perempuan tunggalnya, Min-ji, diculik, dia kembali menggunakan kemahiran tempurnya untuk menyelamatkan anaknya.
Walaupun premisnya mengingatkan penonton kepada filem Taken, Agent Kim Reactivated menawarkan lebih daripada sekadar aksi. Siri ini turut memberi tumpuan kepada hubungan persahabatan dan kasih sayang seorang ayah, menjadikannya lebih dekat dengan penonton.
Drama adaptasi webtoon Manager Kim ini juga berjaya menarik perhatian penonton antarabangsa apabila memasuki senarai Top 10 siri bukan berbahasa Inggeris di Netflix hanya tiga hari selepas tayangan.

Kalau anda peminat drama aksi yang diselitkan dengan elemen kekeluargaan, Agent Kim Reactivated antara siri Korea yang wajar dimasukkan dalam senarai tontonan.







Comments