Bront Palarae Cipta Sejarah di Anugerah Baan Nang Klang Lakorn
- Ain Najihah
- 1 day ago
- 2 min read

Pelakon berbakat, Bront Palarae mencipta kejayaan peribadi apabila dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 yang berlangsung di Thailand.
Menerusi filem The Cursed Land, pelakon berusia 46 tahun ini berjaya menarik perhatian juri menerusi lakonannya yang penuh emosi dan bertenaga.
Menurut Bront, pengiktirafan ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan kerana sudah lama beliau menyimpan impian untuk berlakon dalam filem Thai.
“Berpeluang untuk berlakon dalam filem Thailand seakan satu mimpi yang menjadi nyata, dan menerima anugerah ini adalah sesuatu yang sangat luar biasa," katanya menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya.
Bront turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan produksi The Cursed Land atas usaha dan komitmen mereka.
Beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih khas kepada Panu Aree dan Kong Rithdee atas jemputan, serta Nonzee Nimibutr (Penerbit Kreatif), Chankit (Sinematografer) dan Suraphi (Penolong Pengarah Pertama) atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang proses penggambaran.
“Saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam produksi The Cursed Land. Dedikasi anda menjadikan kemenangan ini satu kenyataan.
“Saya berpeluang berkongsi layar bersama pelakon hebat seperti Ananda Mathew Everingham, Jennis, mendiang Sida Puapimon, serta Han Zalini dan Firdaus Karim . Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna buat saya,” tambahnya lagi.
Dalam kategori tersebut, Bront berjaya menewaskan lima calon hebat lain termasuk Benjamin Varney dan Bhumipat Thavornsiri (In Youth We Trust), Wanarat Ratsameerat (Taklee Genesis) serta dua pelakon filem pecah panggung How to Make Millions Before Grandma Dies, iaitu Sanya Kunakorn dan Pongsatorn Jongwilas.
Filem The Cursed Land turut menerima pencalonan dalam tiga kategori lain iaitu Sinematografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Dalam pada itu, Bront turut menyuarakan harapannya agar industri perfileman Thailand memberi lebih banyak ruang kepada cerita-cerita dari komuniti Melayu di Selatan Thailand.
“Saya berharap suatu hari nanti filem Thailand akan lebih banyak mengetengahkan suara-suara kecil dan sejarah komuniti Melayu di Selatan. Kisah-kisah mereka layak untuk dikongsi dan diraikan,” katanya penuh makna.
Terdahulu, Bront pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) pada tahun 2015.
Comments