top of page

Borhan Bertemu Borhan: Teater Keluang Man Satukan Dua Generasi Peminat Wira Tempatan

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 5 hours ago
  • 1 min read


Suasana penuh semangat dan nostalgia menyelubungi pentas Teater Keluang Man apabila dua figura yang sinonim dengan watak Borhan bertemu dalam satu momen yang cukup ikonik. Kehadiran istimewa pelakon terkenal, Nas-T,  yang menghidupkan watak Borhan dalam filem Keluang Man telah mencuri perhatian ramai sekali gus menyatukan dua generasi peminat Keluang Man dalam satu ruang yang penuh emosi dan kenangan.



Watak Borhan dalam pementasan teater ini telah dilakonkan dengan penuh bertenaga oleh pelakon berbakat, Han Zalini, yang berjaya membawa karakter adiwira ini dengan nuansa yang segar namun tetap setia kepada semangat asalnya. 



Pementasan Teater Keluang Man yang berlangsung dengan jayanya bukan sahaja memberi penghormatan kepada karya animasi lagenda ini, malah turut membawa mesej mendalam mengenai perjuangan, identiti dan kekuatan mental yang disampaikan melalui watak wira gila yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia.


Lebih menarik lagi, keterujaan peminat dijangka terus memuncak apabila Filem Keluang Man bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 29 Mei 2025. Filem ini dijangka membuka lembaran baharu dalam dunia sinema tempatan dengan membawa elemen aksi, psikologi dan budaya tempatan yang segar serta relevan.


Orang ramai diseru untuk terus menyokong karya tempatan dan mengangkat watak adiwira Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi. Ayuh kita penuhkan pawagam dan jadikan Keluang Man kebanggaan negara!

Comments


bottom of page