Blood Brothers Bawa Aura Kepala Naga ke AMT2025: Sharnaaz, Syafiq & Zamarul Bersaing Sengit!
- kaypohmedia
- Jul 24
- 1 min read
Blood Brothers, filem aksi yang menggoncang panggung tempatan, kini terus menghangatkan dunia hiburan apabila tiga teraju utamanya Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Zamarul Hisham berjaya menempatkan diri dalam Top 10 kategori Selebriti Maskulin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025). Aura 'Kepala Naga' nyata masih menyala, membawa gelombang undian dan sorakan peminat ke pentas berprestij itu.
Dalam Blood Brothers, Sharnaaz dan Syafiq bergandingan sebagai ‘bodyguard’ dalam dunia gelap, manakala Zamarul memegang watak DSP Adlin yang memburu mereka. Kini, mereka kembali bertembung bukan dalam adegan penuh adrenalin, tetapi dalam carta undian untuk merebut gelaran Selebriti Maskulin Terhangat 2025!
Dikenali dengan watak-watak berat yang berlapis emosi, Sharnaaz kekal relevan sebagai pelakon versatil. Aura 'abang long' dalam Blood Brothers memperkukuh pengaruhnya di kalangan peminat. Adakah ini masa Sharnaaz mengangkat trofi kemenangan?
Daripada lelaki romantik ke peranan kompleks, Syafiq membuktikan kematangan lakonannya dalam Blood Brothers. Setelah lama menyepi dari pentas kemenangan, adakah 2025 bakal menjadi tahun kebangkitannya?
Berpengalaman lebih dua dekad, Zamarul membuktikan dirinya tidak pernah tenggelam. Persembahannya dalam Langit ke Tujuh dan Blood Brothers menyerlahkan sisi ‘veteran berbisa’ yang masih digilai penonton.
Mereka bertiga bukan sahaja perlu bersaing sesama sendiri, malah turut berdepan dengan bintang-bintang besar seperti Fattah Amin, Remy Ishak, Dato’ Adi Putra, Datuk Rosyam Noor dan Faizal Hussein. Segala-galanya bakal terjawab pada malam kemuncak AMT2025, 3 Ogos ini.
Jangan lupa undi, kerana pilihan anda bakal menentukan siapa yang akan membawa pulang gelaran Selebriti Maskulin Terhangat tahun ini!
Comments