Bella Astillah Lancar Lagu Raya Baharu “Ya Raya”, Vibe Ceria Untuk Aidilfitri 2026
- N

- 5 hours ago
- 2 min read
Kalau anda sedang mencari lagu baharu untuk memeriahkan suasana Aidilfitri, “Ya Raya” oleh Bella Astillah mungkin bakal jadi pilihan wajib tahun ini. Penyanyi dan pelakon popular itu tampil dengan single Raya terbaharu yang menggabungkan elemen moden dan tradisional, memberi nafas segar kepada muzik perayaan yang sinonim dengan masyarakat Malaysia. Lagu ini akan mula tersedia di semua platform penstriman digital bermula 13 Februari 2026.

Menurut Bella, hubungan emosinya dengan lagu ini sudah terasa sejak pertama kali mendengar demo. Baginya, “Ya Raya” membawa aura positif yang mencerminkan suasana Aidilfitri sebenar, kadang disambut di kampung, kadang di bandar, tetapi tetap penuh dengan rasa syukur dan kegembiraan bersama keluarga serta rakan-rakan. Lagu ini juga direka dengan mood yang ringan dan ceria, sesuai untuk membuatkan pendengar tersenyum setiap kali mendengarnya.
Walaupun kedengaran bertenaga dan penuh keceriaan, proses rakaman sebenarnya bukan mudah buat Bella. Ketika sesi rakaman berlangsung, dia berada dalam keadaan kurang sihat dan demam. Cabaran utamanya adalah memastikan tenaga dan emosi dalam vokal kekal konsisten tanpa kedengaran dibuat-buat. Namun begitu, bahagian chorus menjadi kegemarannya kerana melodinya yang catchy sehingga seluruh pasukan di studio turut sama menyanyi.

Dari segi muzik, “Ya Raya” menampilkan keseimbangan antara bunyi klasik Raya dan susunan kontemporari yang lebih segar. Lagu ini ditulis oleh Rudeen, dikompos bersama Exactesy, dan diterbitkan oleh Exactesy. Apa yang membezakan lagu ini ialah fokusnya pada momen-momen kecil yang bermakna seperti masa berkualiti bersama orang tersayang bukan sekadar kemeriahan besar perayaan semata-mata.
Menariknya, pelancaran lagu ini turut disokong dengan kolaborasi bersama jenama tempatan Fipper, menjadikan kempen ini lebih daripada sekadar muzik. Bella melihat Aidilfitri sebagai satu gaya hidup yang merangkumi keseluruhan pengalaman daripada perjalanan balik kampung hingga kepada keselesaan dan gaya santai ketika beraya. Pemilihannya sebagai wajah kolaborasi juga dilihat selari dengan imejnya yang positif, autentik dan dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat Malaysia.

Menurut pihak Universal Music Malaysia, pemilihan “Ya Raya” dibuat selepas melalui proses penilaian teliti berdasarkan kekuatan melodi, lirik dan potensi komersial. Lagu ini dirancang untuk menjadi karya Raya yang tulen, mudah melekat di ingatan dan mampu menyentuh emosi pendengar tanpa elemen penjenamaan yang terlalu menonjol.
Bella sendiri berharap “Ya Raya” dapat menemani detik-detik bermakna setiap kali Aidilfitri tiba. Mesejnya cukup ringkas tetapi relevan hargai masa bersama orang yang kita sayang, gunakan peluang untuk memaafkan dan cipta kenangan indah. Dengan gabungan melodi yang mudah diingati dan mesej yang dekat di hati, tidak mustahil lagu ini akan menjadi antara soundtrack wajib setiap kali musim Raya menjelma.









Comments