Astro Raya 2026: ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’ Hidupkan Semangat Syawal
- Tasnim Ahmad
- Mar 6
- 2 min read
Setiap kali musim perayaan, iklan Raya Astro memang antara yang paling dinanti. Untuk Raya 2026, Astro tampil dengan kempen bertema “Bila Bersama, Lagi Jadi”, mengetengahkan kisah kebersamaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

Kempen ini bukan sekadar filem pendek Raya, tetapi turut merangkumi pelbagai kandungan hiburan di televisyen, radio dan platform digital yang direka khas untuk menemani rakyat Malaysia sepanjang Ramadan hingga Syawal.
Filem pendek Raya Astro tahun ini membawa kisah persaingan lucu antara Samad dan Razak di sebuah kampung yang berlumba menyiapkan pelita panjut paling hebat.
Watak Samad dilakonkan oleh Adlin Aman Ramlie, manakala Razak pula oleh Faizal Hussein. Tanpa disedari, persaingan itu mula memecahbelahkan komuniti kampung sebelum mereka akhirnya sedar bahawa semangat Aidilfitri sebenar adalah tentang kebersamaan.
Filem berdurasi kira-kira 15 minit ini turut menampilkan pelakon popular seperti Bell Ngasri, Noryn Aziz, Azhan Rani, Sharifah Shahirah dan kumpulan ALPHA.
Astro juga memperkenalkan beberapa lagu Raya baharu hasil kerjasama dengan Rocketfuel. Antara yang dinanti termasuk Rindu Raya oleh ALPHA, Kampung Kita oleh Wani Kayrie, Lagu Raya Untukmu oleh Hael Husaini serta Senyum Gugur di Penghujung Doa oleh Dayang Nurfaizah.
Selain itu, kolaborasi Hael Husaini bersama ALPHA menerusi lagu Macam Raya turut menambah warna dalam senarai lagu Raya tahun ini.
Bagi kandungan televisyen pula, Astro menyediakan 16 telefilem khas Raya yang akan ditayangkan bermula 1 Syawal di Astro Ria dan Astro Prima.
Antara yang dijangka mencuri perhatian termasuk Dia Bukan Syurga Raya, Kerikil Depan Rumah lakonan Diana Danielle dan Amir Ahnaf, serta Seven Untuk Suci yang menandakan kemunculan pertama kumpulan ALPHA dalam telefilem.
Selain itu, penonton juga boleh menikmati pelbagai rancangan hiburan seperti Konsert GenKRU, Gegar Vaganza Raya Special, MeleTOP Raya dan Dapur Bapak-Bapak Raya sepanjang musim perayaan.
Dalam kesibukan membuat persiapan Aidilfitri, mesej kempen Astro tahun ini cukup ringkas tetapi bermakna. Raya terasa lebih meriah apabila diraikan bersama.

Sama ada menonton telefilem dengan keluarga, mendengar lagu Raya dalam perjalanan balik kampung, atau berkumpul di ruang tamu, detik-detik kecil inilah yang menjadikan Syawal lebih istimewa.







Comments