top of page

Astro Raikan Aidiladha 2026 Dengan Konsert, Telefilem & Filem Eksklusif

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 8 hours ago
  • 2 min read

Sambutan Aidiladha tahun ini nampaknya lebih meriah bila Astro tampil dengan pelbagai kandungan khas yang penuh elemen kekeluargaan, pengorbanan dan hiburan untuk seisi keluarga. Bermula 20 Mei ini, penonton boleh menikmati pelbagai program menarik di saluran Melayu Astro termasuk konsert, telefilem dan filem blockbuster.


Antara yang dijangka jadi perhatian ramai semestinya Khabar Haji 2026 yang membawakan perkembangan terkini ibadah haji terus dari Mekah bersama laporan khas yang lebih dekat dengan penonton. Selain itu, MeleTOP Aidiladha Istimewa turut tampil dengan suasana Aidiladha yang lebih santai menerusi persembahan khas dan pengisian bertemakan kebersamaan.


Bagi peminat nasyid pula, Astro membawakan tiga konsert istimewa melibatkan kumpulan legenda tanah air iaitu Rabbani, UNIC dan Inteam. Konsert Intifada Rabbani bakal mengubat rindu peminat dengan lagu-lagu malar segar seperti Intifada dan Iman Mutiara, manakala UNIC serta Inteam pula tampil dengan konsert yang mengimbau perjalanan seni mereka sepanjang berada dalam industri.


Dalam masa sama, beberapa telefilem baharu turut mencuri perhatian termasuk Pakwe Bonda Letop lakonan Achey, Namie dan Shashic yang mengangkat kisah keluarga dalam suasana komedi santai. Ops Bapak-Bapak Naik Haji pula menampilkan kisah persahabatan dan impian ke Tanah Suci dengan barisan pelakon berpengalaman seperti Dato’ Jalaluddin Hasan dan Aziz M. Osman.


Untuk kaki wayang, Astro turut membawakan filem menarik seperti Don Dukun serta kemunculan semula Maya Karin menerusi Duyung: Legend Aurora di Astro First. Selain itu, beberapa filem antarabangsa seperti The Super Mario Galaxy Movie dan biopik Michael juga bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Bukan sekadar hiburan, platform radio Astro seperti ZAYAN, THR GEGAR dan SINAR turut tampil dengan pelbagai pengisian Aidiladha yang lebih dekat dengan masyarakat termasuk kisah komuniti, playlist khas dan aktiviti korban bersama pendengar.


Secara keseluruhannya, kandungan Aidiladha Astro tahun ini memang padat dengan hiburan dan mesej bermakna yang sesuai ditonton bersama keluarga sepanjang musim perayaan.

Comments


bottom of page