Art of Speed 2026 Gegar MAEPS Dengan Festival SoundCircus
- Tasnim Ahmad
- Mar 13
- 2 min read
Festival gaya hidup dan automotif terkenal, Art of Speed 2026, bakal kembali memeriahkan MAEPS Serdang pada 1 dan 2 Ogos 2026. Lebih menarik, festival muzik SoundCircus yang pernah ‘berehat’ sebelum ini turut kembali dengan barisan pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Jepun.

Untuk edisi ke-15 ini, penganjur menjanjikan pengalaman festival yang lebih besar dan meriah. Kawasan acara akan memenuhi dewan tertutup seluas lebih 452,000 kaki persegi serta kawasan luar yang luas, menjadikan setiap ruang dipenuhi pelbagai pameran automotif, seni, pop culture dan aktiviti menarik untuk pengunjung.
Kepulangan SoundCircus Summer Festival 2026 menjadi antara tarikan utama tahun ini. Festival muzik itu bakal berlangsung di kawasan seluas kira-kira empat ekar dengan enam pentas persembahan, menampilkan gabungan pelbagai genre muzik daripada indie, pop, rock hingga hardcore.
Menurut Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus, Asep Ahmad Iskandar, penganjuran kali ini menandakan evolusi festival yang semakin berkembang sebagai platform untuk menyatukan pemuzik mapan dan bakat baharu, khususnya dalam ekosistem muzik bebas dan alternatif.
Antara persembahan yang dijangka mencuri perhatian ialah kolaborasi istimewa Cokelat X Ella menerusi konsep “Takhta Ratu Nusantara” yang menyatukan dua ikon muzik dari Malaysia dan Indonesia. Peminat rock pula boleh menantikan gandingan Jemson X Def Gab C dalam konsep “Legends X Renegades”, selain persembahan unik seperti “Dikir Kustom” oleh Issey & The Clique serta kolaborasi ayah dan anak Couple bersama Adnan Othman dalam konsep “Power Pop Yeah Yeah”.
Setakat pengumuman Fasa 1 dan Fasa 2, lebih 50 pemuzik dari pelbagai negara sudah disenaraikan untuk memeriahkan festival ini. Antara nama yang akan tampil termasuk Tenxi, Masdo, Midnight Fusic, The Jansen, Nadin Amizah dan Iqbal M, selain beberapa DJ yang bakal menghangatkan suasana sepanjang dua hari festival berlangsung. Penganjur juga memaklumkan bahawa barisan artis untuk Fasa 3 akan diumumkan dalam masa terdekat.
Walaupun SoundCircus menjadi antara tarikan utama, Art of Speed sebenarnya lebih daripada sekadar festival muzik. Acara ini terkenal sebagai pertemuan komuniti kreatif yang menggabungkan dunia automotif kustom, seni visual, fesyen streetwear dan budaya pop dalam satu pengalaman festival yang unik.
Dengan sokongan Tourism Selangor sebagai rakan strategik, penganjuran tahun ini juga dijangka menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa, sekali gus membantu mempromosikan Selangor sebagai destinasi acara gaya hidup kreatif di rantau ini.
Bagi yang berminat untuk hadir, tiket Art of Speed 2026 bermula dari RM35 untuk kemasukan festival, manakala tiket SoundCircus ditawarkan dalam beberapa kategori dengan harga bermula sekitar RM89 bergantung kepada zon dan fasa jualan.
Kalau anda peminat festival yang gabungkan muzik, seni dan budaya automotif dalam satu tempat, Art of Speed 2026 nampaknya memang acara yang patut masuk dalam senarai hujung minggu Ogos nanti.









Comments