Apple Rasmi Lancar iPhone Air Bersama iPhone 17, iPhone 17 Pro & Pro Max; Harga Bermula RM3,999 Di Malaysia
- Atiqah Halim
- 10 hours ago
- 2 min read
Selepas beberapa minggu khabar angin, Apple akhirnya melancarkan barisan iPhone baharu untuk tahun ini. Selain iPhone 17, syarikat itu turut memperkenalkan iPhone 17 Pro, iPhone 17 Pro Max dan model paling mencuri perhatian, iPhone Air.

iPhone 17 mengekalkan skrin 6.3 inci, tetapi kini dengan bezel lebih nipis serta paparan ProMotion. Refresh rate boleh mencecah 120Hz dan turun sehingga 1Hz untuk Always-On Display. Tahap kecerahan pula meningkat ke 3,000 nits.
Peranti ini dikuasakan cip A19 berasaskan teknologi 3nm dengan enam teras CPU dan lima teras GPU, disertakan sokongan Apple Intelligence. Kamera belakang hadir dengan kombinasi 48MP utama dan 12MP telefoto 2x. Kamera hadapan 18MP berbentuk segi empat pula menyokong fungsi Centre Stage AI untuk swafoto lebih stabil dan luas.

Untuk pengguna yang mahukan ciri profesional, Apple menawarkan iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max. Kedua-duanya menggunakan rangka titanium yang lebih ringan, skrin ProMotion dengan kecerahan sehingga 3,500 nits, serta cip A19 Pro yang lebih berkuasa.
Sistem kamera turut dipertingkat. iPhone 17 Pro dilengkapi tri-kamera dengan 48MP utama, 12MP ultra-lebar dan telefoto baharu 48MP 3x zoom. Manakala iPhone 17 Pro Max hadir eksklusif dengan telefoto periskop 48MP yang mampu zoom optikal sehingga 5x.

Menjadi bintang utama pelancaran, iPhone Air tampil dengan rekaan ultra nipis 5.6mm menggunakan rangka titanium berkilat. Skrinnya lebih besar pada 6.5 inci, namun mengekalkan kebanyakan ciri iPhone 17.
Di bahagian belakang hanya terdapat satu kamera 48MP yang diletakkan dalam bonggol besar dinamakan “plateau”. Reka bentuk ini menempatkan pelbagai komponen penting supaya peranti kekal nipis. iPhone Air turut menggunakan cip A19 Pro, tetapi hadir tanpa slot SIM fizikal—menjadikannya model eSIM-only di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Harga & Tarikh Jualan
Pra-tempah keempat-empat model dibuka pada 12 September jam 8 malam, manakala tarikh jualan rasmi bermula 19 September. Harga di Malaysia bermula seperti berikut:
iPhone 17: Dari RM3,999
iPhone 17 Pro: Dari RM5,299
iPhone 17 Pro Max: Dari RM5,799
iPhone Air: Dari RM4,999
Comments