top of page

Anugerah Lagu Indie 2024: Pentas Akhir Bakal Dihangatkan oleh 15 Finalis Terbaik

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 1 day ago
  • 2 min read

Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI24) kembali menghangatkan industri muzik tempatan apabila secara rasmi mengumumkan senarai 15 finalis terbaik bagi tiga kategori utama iaitu Pop, Rock dan Hip Hop.


Majlis pengumuman eksklusif yang berlangsung di ESI Hub, Spacerubix ini menjadi tumpuan peminat dan penggiat muzik indie tanah air yang tidak sabar menyaksikan siapa bakal mengungguli pentas akhir pada 27 Julai nanti.


ALI yang kembali dengan edisi kelima, terus menjadi platform utama dalam mengetengahkan bakat-bakat segar dalam arena muzik bebas. 


Lebih 630 penyertaan diterima pada tahun ini, tetapi hanya 15 lagu terbaik berjaya melepasi tapisan juri profesional dan layak mara ke pentas akhir.



Antara barisan juri edisi kali ini termasuklah nama-nama berpengaruh dalam industri seperti AG Coco, Irena Taib, Leaism, Loy Ekzan, Luca Sickta, Roshan Jamrock, Prof. Madya Dr. Muhammad Sayyid dan WingMeng.



Menurut Penerbit Eksekutif ALI, Ahmed Faris Amir, sejak penganjuran ALI pada tahun 2020, anugerah ini membuka laluan buat karya dalam muzik indie tanah air.


“Jumlah penyertaan tahun ini membuktikan muzik indie semakin diterima dan berkembang dalam kalangan peminat tempatan. Hanya 15 lagu daripada 630 penyertaan telah dipilih menjadi finalis di Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie 2024,” katanya.


Menurut Penerbit Eksekutif Bersama Anugerah Lagu Indie, Jennifer Thompson, anugerah ini dinilai berdasarkan kualiti keseluruhan sesebuah lagu.


“Kesemua lagu yang kami terima dinilai oleh barisan juri professional berdasarkan komponen penilaian sebanyak 70% dan melalui undian awam di anugerahlaguindie.com sebanyak 30%,” katanya. 


ALI24 juga terus mengekalkan tawaran hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM36,000 untuk pemenang tiga kategori utama. Dua anugerah khas turut dipertandingkan iaitu Persembahan Terbaik dan Lagu Indie Terpaling Platinum Carta Indie Kita.


Hal ini menjadikan Anugerah Lagu Indie bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah berperanan sebagai pendorong yang bermakna kepada karyawan seni indie untuk terus berkarya dan menyumbang dalam industri muzik tanah air.



Anugerah Lagu Indie 2024 mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan, Gaya Hidup Rakan Muda serta radio rasmi, Rakita 107.9. 


Turut sama menyokong semangat Anugerah Lagu Indie ialah rakan-rakan media seperti Malaysia Tribune, Medialah, Music Addicts Malaysia, Kaypoh Media, Malaysia Music Scene, Writer’s Daily dan LUAS.


Pentas akhir Anugerah Lagu Indie 2024 bakal disiarkan secara langsung menerusi saluran rasmi YouTube Anugerah Lagu Indie pada 27 Julai 2025, dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam. Saksikan sendiri persembahan penuh tenaga, kreativiti dan keaslian daripada finalis terbaik negara!


Berikut merupakan senarai 15 Finalis ALI2024:


Kategori Hip Hop Terbaik:


  1. Different Worlds – Bubba D

  2. Shh Shh – B-Heart

  3. Good Day – Fusion Cypher House

  4. Malay Hood – Bearboi

  5. Ok-Go – Pikabu


Kategori Pop Terbaik:


  1. I Got a Woman – Reubben Chelvan

  2. Dewasa Yang Ku Impikan – Umar Akmal

  3. Jangan Merajok – Max Brandon

  4. Ke Akhirnya – Fimie Don

  5. TV Show – Odelia Tirza


Kategori Rock Terbaik:


  1. Bola Si Ernie – Teh Tarik Senja

  2. Senandung (ft. Otam) – Mafidz

  3. Bima Sakti (ft. Dhenaldi Savirio) – Crazy Grizzly

  4. Anathema – Inversion

  5. I, Suffocate (ft. Amanda Love & Ewan Roslan) – An Honest Mistake


Comments


bottom of page