ALPHA Tampil Dengan Versi Baharu “Bujang”, Lagu Hael Husaini Diangkat Sebagai OST Drama “Satu, Dua… Dia?” di VIU
- N
- 3 hours ago
- 2 min read
Kumpulan M-pop lelaki sensasi tanah air, ALPHA, sekali lagi mencuri perhatian peminat dengan kemunculan single terbaharu berjudul “Bujang”, yang kini diangkat sebagai runut bunyi rasmi (OST) untuk drama bersiri 15 episod “Satu, Dua… Dia?” di platform penstriman VIU.

Lebih menarik, dua ahli kumpulan ini Ariel Fesol dan Rizal Rasid turut membintangi drama arahan Datuk Yusry Abdul Halim, menjadikan kolaborasi ini satu gabungan sempurna antara dunia muzik dan lakonan.
Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, versi baharu “Bujang” ini menampilkan interpretasi moden dan ceria terhadap lagu asal ciptaan Hael Husaini bersama MFMF, yang pernah menjadi fenomena lima tahun lalu.
ALPHA mengekalkan elemen pop retro yang menjadi identiti lagu asal, namun menyuntik susunan muzik lebih upbeat dan youthful, seiring dengan semangat kumpulan muda ini.
“Kami memang meminati lagu ‘Bujang’ sejak versi asal Hael lagi. Bila ditawarkan untuk bawakan semula sebagai OST, kami terus rasa teruja! Versi ALPHA ini lebih bertenaga, lebih youthful dan mencerminkan semangat kami,” – Ariel Fesol, ahli ALPHA.

Selain menyanyikan lagu tema, ahli kumpulan Rizal Rasid turut melihat peluang berlakon dalam “Satu, Dua… Dia?”sebagai pengalaman berharga.
“Rasa lain bila berlakon dalam drama yang gunakan lagu nyanyian sendiri. Bila mood dan mesej lagu selari dengan lakonan, hasilnya lebih jujur,” – Rizal Rasid.
Sementara itu, Daniel Sher menyifatkan projek ini sebagai satu langkah penting dalam perjalanan seni mereka.
“Kami pernah nyanyi lagu ‘Bujang’ bersama Hael masa konsert ‘Hael Husaini & Repertoire’, dan sambutannya luar biasa. Jadi bila Rocketfuel beri kepercayaan untuk rakam versi kami sendiri, kami anggap ini peluang besar untuk buktikan kemampuan sebenar ALPHA,” – Daniel Sher.
“Bujang” mengangkat kisah seorang jejaka yang masih single walaupun rakan-rakannya sudah mendirikan rumah tangga. Liriknya bersahaja dan lucu, dengan mesej tentang pencarian cinta dan kematangan hidup.

Gabungan tujuh ahli Daniel Sher, Izat Ibrahim, Rizal Rasid, Ariel Fesol, Araff, Ray-D dan Afiq Sky menjadikan versi baharu ini penuh warna, harmoni dan keseronokan.
“Kami nak pendengar rasa enjoy tapi dalam masa sama faham mesej di sebalik liriknya,” – Afiq Sky.
Sejak debut empat bulan lalu, ALPHA membuktikan kemampuan mereka sebagai kumpulan M-pop paling aktif di bawah Rocketfuel Entertainment. Antara single terdahulu mereka termasuk “Mona Lisa”, “P Ramlee Saloma” dan “Sahabat”.
Antara pencapaian membanggakan ALPHA:
Lebih 600,000 pendengar bulanan di Spotify
Lagu “P Ramlee Saloma” mencatat 100,000 strim harian dan berada dalam Top 5 carta Spotify Malaysia
Menduduki tempat pertama Carta RIM Malaysia
Mencapai 338 juta capaian digital dan lebih 3 juta jumlah strim audio
Single “Bujang” versi ALPHA akan dilancarkan di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer pada 23 Oktober 2025, serentak dengan tayangan episod pertama “Satu, Dua… Dia?” di VIU.

Dengan kombinasi vokal mantap, vibe positif dan penampilan menarik dalam drama terbaru ini, ALPHA terus membuktikan mereka bukan sekadar kumpulan biasa tetapi fenomena baharu dalam dunia M-pop Malaysia.
Comments