top of page

ALPHA Raih 1 Juta Full Album Streams Dalam 15 Hari, Album Debut Terus Cipta Fenomena

  • Writer: N
    N
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kalau sebelum ini ramai mula bercakap tentang album debut ALPHA, nampaknya momentum mereka memang belum menunjukkan tanda-tanda untuk perlahan. Hanya dalam tempoh 15 hari selepas dilancarkan, The First Wave berjaya melepasi 1 juta full album streams di Spotify, satu pencapaian yang cukup membanggakan buat kumpulan baharu dari Malaysia ini.


Album yang dilancarkan pada 15 Jun 2026 itu bukan sekadar mendapat perhatian pada minggu pertama, malah terus menerima sokongan padu daripada peminat yang tidak putus-putus menstrim setiap lagu dalam album tersebut.

Lebih menarik, The First Wave kini telah merekodkan 24 juta jumlah penstriman keseluruhan di Spotify, merangkumi semua lagu dalam album berkenaan. Angka itu menunjukkan bukan hanya satu atau dua lagu menjadi pilihan pendengar, tetapi keseluruhan album turut mendapat sambutan yang konsisten.


Mengandungi 12 buah lagu, album ini memperkenalkan identiti muzik ALPHA menerusi gabungan pop moden, susunan muzik yang segar serta persembahan bertenaga. Kepelbagaian genre yang ditampilkan turut menjadikan album ini lebih mudah diterima oleh pelbagai kelompok pendengar.


Antara lagu yang mencatat jumlah penstriman tertinggi setakat ini ialah P Ramlee Saloma dengan lebih 21 juta penstriman. Ia diikuti oleh Mona Lisa (Bang Bang) yang melepasi 1.5 juta penstriman, manakala Bujang pula menghampiri 900,000 penstriman.

Dengan pencapaian ini, ALPHA semakin mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan baharu yang sedang mencuri perhatian dalam industri muzik tempatan. Jika momentum ini berterusan, tidak mustahil nama mereka akan terus berkembang ke pasaran serantau dalam masa terdekat.


Bagi peminat muzik tempatan, kejayaan ini juga menjadi satu petanda positif bahawa karya artis Malaysia terus mendapat tempat di platform penstriman digital. Menarik untuk melihat apakah langkah seterusnya daripada ALPHA selepas kejayaan besar album sulung mereka ini.

Comments


bottom of page