Allan Andersn Lancar Single Terbaharu Seakan Ku Tak Ada, Dedah Kisah Di Sebalik Album ‘dear aa’
- kaypohmedia
- 8 hours ago
- 2 min read
Penyanyi dan penulis lagu Indonesia yang kini aktif membina karier di Malaysia, Allan Andersn, 33, tampil dengan single terbaharu berjudul Seakan Ku Tak Ada. Lagu ini menjadi salah satu trek daripada album studionya yang penuh emosi, dear aa.

Menurut Allan, Seakan Ku Tak Ada lahir daripada kisah seorang teman rapat yang sering merasa diabaikan dalam hubungan.
“Saya membayangkan bagaimana rasanya mencintai seseorang tetapi tidak pernah benar-benar dianggap. Emosi itu sangat kuat dan dekat di hati saya walaupun bukan pengalaman peribadi,” ujar Allan.
Beliau berharap lagu ini menjadi pelipur lara buat sesiapa yang pernah merasa tidak dihargai, sambil mengingatkan bahawa setiap insan berhak untuk dicintai dan diraikan kehadirannya.
Album dear aa pula dianggap Allan sebagai karya paling peribadi sepanjang kerjayanya. Menurutnya, setiap lagu dalam album itu ibarat jurnal muzik yang merakam pelbagai emosi – dari luka hingga penerimaan.
“Judulnya sendiri diambil dari nama saya. Album ini seperti surat terbuka, bukan hanya untuk diri saya, tapi juga untuk semua yang pernah hadir dalam hidup saya,” katanya.
Nama Allan mula menjadi bualan selepas single Rindu meledak di TikTok dan berjaya memasuki carta Spotify Viral 50 Malaysia. Penampilannya di pentas Big Stage Alpha turut memperkukuh popularitinya di kalangan peminat tempatan.

Menariknya, Allan mengakui kehadirannya di Malaysia pada awalnya tidak dirancang. Namun, sambutan hangat membuatkannya lebih serius membina karier di sini.
“Saya rasa muzik yang datang dari hati boleh melangkaui batas negara. Saya bersyukur peminat Malaysia menerima saya dengan tangan terbuka,” ujarnya.
Selain menyanyi, Allan juga dikenali sebagai pencipta lagu. Antara karya ciptaannya termasuk Nostalgia untuk Ernie Zakri dan Romansa untuk Ziha Salleh. Beliau juga pernah berduet dengan Famizah Razali dalam lagu Ternyata.
Kini, Allan terbuka untuk lebih banyak berkolaborasi dengan artis Malaysia, demi menghasilkan karya segar dan bermakna.

Dengan pelancaran single ini, Allan menyimpan harapan agar Seakan Ku Tak Ada menjadi lagu yang menyentuh jiwa pendengar Malaysia.
“Saya mahu terus berkarya di sini, bukan sekadar sekejap. Harapnya lagu ini dapat menemani mereka yang pernah merasa diabaikan dan menjadi kekuatan dalam proses penyembuhan,” katanya.
Album dear aa dan single Seakan Ku Tak Ada kini boleh distrim di semua platform digital utama.
Comments