top of page

Album MPT Bukti Evolusi Tenang Kaka Azraff Selepas 16 Tahun Berkarya

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 1 day ago
  • 2 min read

ree

Selepas 16 tahun mengukir nama dalam industri muzik tempatan, Kaka Azraff akhirnya tampil dengan album sulung yang cukup dinanti, MPT. Bukan sekadar sebuah projek muzik, MPT membawa maksud eMPaTI, satu konsep yang dekat dengan emosi, pengalaman dan sisi kemanusiaan yang sering dilalui ramai, termasuk Kaka sendiri.


Album ini diraikan secara intim menerusi sesi Showcase dan Listening Party yang berlangsung di Kafe Bijou, Ara Damansara. Acara tersebut menghimpunkan peminat, rakan media serta pemain industri untuk sama-sama menyelami perjalanan seni Kaka yang terakam dalam enam buah lagu di bawah payung MPT. Menariknya, kesemua karya ini lahir daripada pengalaman kolektif sepanjang tiga tahun tempoh Kaka memilih untuk berada sedikit ke belakang dari sorotan utama.


Sepanjang tempoh itu, pelbagai perbualan, pemerhatian dan perkongsian daripada orang sekeliling menjadi bahan bakar utama dalam membentuk identiti album ini. Ia memberi ruang buat Kaka untuk berkarya dengan lebih jujur dan bebas, tanpa tekanan untuk mengejar kesempurnaan semata-mata. Fokus utama MPT adalah keaslian emosi, sesuatu yang jelas terasa dalam setiap trek.


MPT menampilkan enam lagu iaitu Berubah, Cabar, Arguments, Bully, Takleh Usik dan Aku. Setiap lagu membawa naratif tersendiri, menyentuh isu dalaman, konflik, ketahanan diri serta refleksi peribadi. Dari segi bunyi, album ini digerakkan oleh kolaborasi bersama dua penerbit, SonaOne dan Yonnyboii, yang berjaya menghasilkan melodi seimbang dengan penceritaan album.


Menariknya, MPT tidak diposisikan sebagai kemunculan semula Kaka Azraff. Sebaliknya, ia dilihat sebagai kesinambungan kepada perjalanan seni yang telah lama bermula. Album ini mencerminkan satu fasa penyesuaian semula, di mana setiap pengalaman, hubungan dan ruang yang pernah dilalui diberi makna baharu.




Secara keseluruhan, MPT menandakan satu langkah ke hadapan buat Kaka Azraff, bukan hanya dari sudut muzik tetapi juga kehidupan. Ia mempamerkan kematangan dan perkembangan yang berlaku secara tenang, jujur dan berperingkat.


Album MPT diterbitkan hasil usahasama pelbagai pihak dengan sokongan Dana Kandungan Kreatif daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia. MPT dijadualkan untuk dilancarkan pada hujung Januari 2026.

Comments


bottom of page