Aisha Retno Umum Showcase Eksklusif “The A.I.S.H.A Experience” September Ini
- kaypohmedia
- 1 day ago
- 2 min read

Penyanyi dan pencipta lagu berbakat Malaysia, Aisha Retno, kini berada di fasa baharu dalam perjalanan seninya. Selepas meraih perhatian ramai menerusi kejayaan lagu "Sutera" yang merangkul tempat kedua dan Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), serta membuat kemunculan istimewa di pentas Java Jazz Festival di Indonesia, Aisha kini kembali dengan berita yang lebih mengujakan.
Beliau bakal menganjurkan satu persembahan istimewa bertajuk “The A.I.S.H.A Experience”, yang akan berlangsung pada hari Sabtu, 20 September 2025, jam 8 malam di Jio Space, Petaling Jaya.
Showcase eksklusif ini diumumkan secara rasmi dalam sidang media yang diadakan di Hyatt Centric, Kuala Lumpur. Ia bakal menampilkan lagu-lagu terbaharu serta karya-karya kegemaran peminat dalam suasana yang penuh dinamik dan emosi.

Bermula sebagai Juara Rookie dalam program Vokal Mania (2020), Aisha terus mencuri perhatian dengan tempat ketiga di Big Stage musim ke-4 (2022), sebelum mencatat jutaan penstriman dengan lagu Inggeris popularnya, "W.H.U.T (Wanna Hold U Tight)". Artis versatil ini terus melangkah ke hadapan dengan pelancaran beberapa single menarik seperti “Terbang” dan “Tak Adil”, yang masing-masing menampilkan gabungan genre pop, soul, rock dan goth yang unik.
Dalam sidang media tersebut, Aisha mempersembahkan secara eksklusif beberapa lagu baharu antaranya “Tak Adil”, “Jeda”, “Orbit”, “Missing Piece (Lengkapi Kita)” dan “Titik Temu”, memberi gambaran awal tentang konsep eklektik showcase yang bakal menggabungkan elemen muzik moden dan penceritaan emosional.

Aisha menyifatkan showcase ini sebagai refleksi perjalanan dirinya sebagai seorang artis yang kini lebih matang, berani bereksperimen dan bersedia untuk mendekati peminat secara lebih intim. “Saya telah mencurahkan sepenuh hati dan jiwa untuk showcase ini. Saya percaya ia mencerminkan di mana saya berada hari ini - lebih berdaya tahan dan menjiwai setiap karya saya,” jelas Aisha dengan penuh semangat.
“The A.I.S.H.A Experience” dianjurkan oleh LOL Asia dengan sokongan rakan penaja Hyatt Centric, Kuala Lumpur. Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia, Rizal Kamal turut menyatakan keyakinan terhadap potensi besar Aisha Retno dalam membentuk masa depan industri muzik Malaysia. “Aisha merupakan bintang yang menyerlah, penuh bakat dan dedikasi. Showcase ini bakal menjadi medan untuk menyerlahkan lagi visinya yang segar dan berani.”

Tiket untuk “The A.I.S.H.A Experience” boleh mula dibeli secara atas talian bermula 31 Julai 2025 jam 12 tengah hari di laman web rasmi LOL Asia: https://lolasia.bigtix.io/.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri perjalanan muzik Aisha Retno secara langsung – sebuah pengalaman eksklusif yang penuh emosi, kreativiti dan inspirasi.
Comments