Aisha Retno Lancar Album [Re.Hab] — Lagu Etnik Pop “Jeda” Curi Tumpuan Pendengar
- kaypohmedia
- 2 days ago
- 2 min read
Penyanyi bersuara lunak, Aisha Retno akhirnya melancarkan album studio pertamanya yang diberi judul [Re.Hab]. Album ini mula dilancarkan secara digital pada 25 Julai 2025, menandakan satu pencapaian besar dalam perjalanan seni penyanyi berdarah kacukan Malaysia-Indonesia ini.
Album [Re.Hab] fasa pertama menampilkan lima buah lagu iaitu Tak Adil, Jeda, O.R.B.I.T, Lengkapilah Kita (Missing Peace) dan Titik Temu. Setiap lagu menonjolkan sisi muzik yang berbeza dari pop rock hinggalah ke balada moden dan pop etnik, menjadikannya satu koleksi karya yang ‘cukup perisa’.

Antara yang paling mencuri perhatian ialah lagu pop etnik berjudul “Jeda”. Menurut Aisha, ilham untuk lagu ini hadir daripada perkataan itu sendiri. “‘Jeda’ membawa makna berhenti seketika, sangat kena dengan tema album [Re.Hab] yang mengetengahkan proses penyembuhan diri. Kadangkala, kita perlu berhenti untuk berfikir sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam hidup,” ujarnya.
Lagu yang memiliki bunyi etnik moden ini bukan sekadar sedap didengar, malah hadir bersama video muzik berseni yang menggambarkan kekuatan wanita melalui simbolik ‘srikandi’ dan ‘arjuna’. Menariknya, Aisha menulis sendiri lagu ini berdasarkan pengalaman peribadi termasuk fasa berhenti seketika daripada soal percintaan dan memberi tumpuan penuh kepada kerjaya.
Selain Jeda, Aisha turut berkongsi bahawa setiap lagu dalam album ini merupakan refleksi emosi dan pengalaman hidupnya. Lagu O.R.B.I.T menceritakan rasa seperti bermimpi saat bercinta, manakala Lengkapilah Kita (Missing Peace) menyentuh tentang keinginan untuk saling melengkapi dalam hubungan. Lagu duet bersama Megat Fazly, Titik Temu pula menyentuh tentang persoalan sama ada takdir akan menemukan kita semula dengan seseorang yang pernah hadir.
Aisha juga mengakui bahawa kos pembikinan album [Re.Hab] adalah antara yang paling besar dalam kerjayanya setakat ini. Namun, dengan semangat dan sokongan keluarga, khususnya adiknya Radi yang turut sama dalam penghasilan muzik, mereka berjaya menyiapkannya dengan penuh kepuasan.
“Dari Januari kami bertungkus-lumus siang malam. Mujur ada studio sendiri di rumah, jadi lebih mudah untuk urus masa,” tambah Aisha.
Album ini turut mendapat sentuhan penerbit muzik Jaydi dan beberapa kolaborator lain seperti Seatravel dan Megat Fazly.
Video muzik rasmi “Jeda” kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Aisha Retno. Sementara itu, visualizer lagu-lagu lain bakal menemui peminat pada 1 Ogos 2025.
Comentários